DUNIA

Bekas Presiden Indonesia SBY kembali melukis ketika jalani rawatan di hospital

Bernama 19/07/2025 | 13:32 MYT
Walaupun tangan kanannya masih dipasang titisan intravena, Susilo tetap menghasilkan karya menggunakan tangan kiri. - Instagram @aniyudhoyono
JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang kini menjalani rawatan di Hospital Tentera Gatot Soebroto di Jakarta Pusat, dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dan telah mula melukis semula di bilik rawatannya.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi beliau, walaupun tangan kanannya masih dipasang titisan intravena, beliau, yang lebih dikenali sebagai SBY, berkarya menggunakan tangan kiri untuk melukis.

"Set alat lukis telah disediakan di bilik hospital pagi ini... beliau memegang berus dan melukis sepenuh jiwa menggabungkan warna. Ia satu detik yang menyentuh hati," menurut hantaran itu pada Sabtu.

Lukisan yang sedang dihasilkan turut dikongsi dalam hantaran tersebut, namun belum siap sepenuhnya kerana masih perlu diperkemas dan akan dikongsikan kemudian.

Kenyataan itu juga memohon doa orang ramai agar SBY yang meminati seni, muzik dan puisi segera pulih dan dapat menjalankan rutin harian.

Jurucakap Parti Demokratik, Herzaky Mahendra Putra, mengesahkan rawatan yang diterima SBY, namun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi terperinci mengenai jenis penyakit.

Presiden Indonesia keenam, berusia 75 tahun, dilahirkan di Pacitan, Jawa Timur, memerintah dari 2004 hingga 2014 dan presiden pertama yang dipilih terus oleh rakyat menerusi pilihan raya presiden.

-- BERNAMA


#bekas presiden RI #Indonesia #Susilo Bambang Yudhoyono #melukis #rawatan kesihatan