Skip to main content

Dunia

Bekas Presiden Iran Ahmadinejad masih hidup, tidak cedera - Penasihat

41717341186_MahmoudAhmadinejad.jpg
Menurut penasihatnya, Ahmadinejad berada dalam keadaan baik. - Gambar fail

BEKAS Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, disahkan masih hidup dan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas laporan awal mendakwa beliau terbunuh dalam serangan udara bersama Amerika Syarikat dan Israel yang menyasarkan kepimpinan tertinggi serta infrastruktur ketenteraan Iran.

Perkara itu disahkan seorang penasihat rapat beliau kepada Ajansi Anadolu.

Advertisement

Menurut penasihat tersebut, beliau berada dalam komunikasi langsung dengan Ahmadinejad dan memaklumkan bahawa keadaan bekas presiden itu adalah baik.

Kenyataan itu sekali gus menolak laporan awal media antarabangsa yang menyebarkan dakwaan mengenai kematian beliau susulan siri serangan berkenaan.

Penasihat itu turut menjelaskan bahawa sebuah bangunan berkaitan pasukan keselamatan Ahmadinejad menjadi sasaran serangan pada Sabtu.

Serangan tersebut mengorbankan tiga pengawal peribadinya yang merupakan anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC). Bagaimanapun, Ahmadinejad dilaporkan tidak berada di lokasi tersebut ketika serangan berlaku.

Kediaman Ahmadinejad yang terletak kira-kira 100 meter dari bangunan keselamatan itu turut disahkan tidak terjejas dan tidak menjadi sasaran.

Maklumat itu sekali gus meredakan spekulasi yang tular di media sosial dan beberapa saluran berita luar negara mengenai nasib beliau selepas gelombang serangan udara tersebut.

Sehingga kini, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan keselamatan beliau, namun maklumat yang diperoleh daripada penasihatnya dianggap sebagai rujukan paling hampir kepada situasi sebenar. 

Serangan udara yang dilancarkan AS dan Israel itu dilaporkan menyasarkan kepimpinan politik serta ketenteraan Iran, termasuk beberapa lokasi strategik yang dikenal pasti sebagai pusat operasi penting negara tersebut.

Ahmadinejad, yang pernah memimpin Iran dari 2005 hingga 2013, kekal sebagai salah seorang tokoh berpengaruh dalam politik negara itu walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi kerajaan.

Kedudukan beliau sebagai tokoh nasional terus mendapat perhatian, terutama dalam situasi krisis semasa yang melibatkan keselamatan dan kestabilan negara.

 

Must Watch Video