INTERNATIONAL

Bekas Presiden Korea Selatan Yoon tinggalkan parti menjelang pilihan raya

Bernama 17/05/2025 | 10:03 MYT
Yoon menyatakan bahawa keputusannya meninggalkan parti itu merupakan cara terbaik untuk memenangi pilihan raya presiden dan melindungi demokrasi liberal negara. - Foto AP
SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Sabtu mengumumkan keluar daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) menjelang pilihan raya presiden awal pada 3 Jun, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Yoon Suk Yeol Keluar Parti: Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, mengumumkan keluar daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) menjelang pilihan raya presiden awal pada 3 Jun, dengan alasan ia langkah terbaik untuk memenangi pilihan raya dan mempertahankan demokrasi liberal negara.
  • Sokongan kepada Kim Moon-soo: Yoon menyeru rakyat agar menyokong calon presiden PPP, Kim Moon-soo, dalam usaha mempertahankan kebebasan, kedaulatan, dan kemakmuran negara.
  • Tinjauan Sokongan: Dalam tinjauan terbaru, Kim jauh ketinggalan di belakang calon Parti Demokrat, Lee Jae-myung, yang memperoleh kadar sokongan 51.7 peratus berbanding 28.7 peratus untuk Kim.


"Saya meninggalkan Parti Kuasa Rakyat hari ini. Saya tunduk hormat kepada rakan seperjuangan dalam parti yang telah mempercayai dan bersama saya untuk sekian lama," kata Yoon dalam satu kenyataan.

Yoon menyatakan bahawa keputusannya meninggalkan parti itu merupakan cara terbaik untuk memenangi pilihan raya presiden dan melindungi demokrasi liberal negara.

Baru-baru ini, timbul desakan agar Yoon meninggalkan parti bagi menarik pengundi atas pagar dalam pilihan raya akan datang, susulan percubaannya melaksanakan undang-undang tentera yang gagal, menyebabkan beliau berdepan pendakwaan dan disingkirkan daripada jawatan presiden.

Yoon pada masa sama meminta orang ramai agar menyokong Kim Moon-soo, calon presiden Parti Kuasa Rakyat dan mengundi pada pilihan raya 3 Jun untuk mempertahankan kebebasan, kedaulatan dan kemakmuran.

Dalam tinjauan terbaru, Kim jauh ketinggalan di belakang Lee Jae-myung, calon presiden Parti Demokrat (DP) yang tewas dalam pilihan raya presiden 2022 kepada Yoon dengan perbezaan tipis sebanyak 0.73 mata peratusan.

Menurut tinjauan oleh Flower Research yang melibatkan 4,016 pengundi dari Isnin hingga Khamis, Lee memperoleh kadar sokongan sebanyak 51.7 peratus berbanding 28.7 peratus untuk Kim.

-- BERNAMA



#Presiden Korea Selatan #Yoon Suk Yeol #umum keluar parti #pilihan raya presiden