DUNIA

Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dipenjara lima tahun

Agensi 25/09/2025 | 15:52 MYT
Hukuman yang dihadapi Sarkozy lebih berat daripada yang dijangkakan ramai dan merupakan yang pertama dalam sejarah politik moden Perancis. - Reuters
BEKAS Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada Khamis, atas kesalahan komplot jenayah berkaitan urusan dengan Libya.

Memetik agensi Reuters, perkembangan itu menjadikan Sarkozy bekas presiden pertama Perancis yang bakal menjalani hukuman penjara.

Hukuman itu lebih berat daripada yang dijangkakan ramai dan merupakan yang pertama dalam sejarah politik moden Perancis.

Sarkozy, yang memegang jawatan presiden antara 2007 hingga 2012, merancang untuk merayu keputusan itu.

“Saya tidak bersalah. Apa yang berlaku hari ini... adalah amat serius dari segi peraturan undang-undang.

"Jika mereka benar-benar mahu saya tidur di penjara, saya akan tidur di penjara, tetapi dengan besar hati," kata Sarkozy ketika keluar dari mahkamah.

Sarkozy didapati bersalah atas kesalahan komplot jenayah berhubung usaha mendapatkan dana kempen dari Libya ketika pemerintahan Muammar Gaddafi.

Walaupun beliau dibebaskan oleh Mahkamah Paris daripada semua pertuduhan lain, termasuk rasuah dan penerimaan pembiayaan kempen secara haram, hukuman penjara terhadap dirinya tetap berkuat kuasa serta-merta.

Sarkozy didakwa membuat perjanjian dengan Gaddafi pada 2005, ketika beliau memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Dalam Negeri, untuk mendapatkan pembiayaan kempen sebagai balasan menyokong kerajaan Libya yang ketika itu terasing di peringkat antarabangsa.

Hakim menegaskan Sarkozy bersalah kerana persekongkolan jenayah kerana membenarkan pembantu rapatnya berhubung dengan individu di Libya untuk mendapatkan pembiayaan kempen.

Bekas presiden berusia 70 tahun itu telah dibicarakan sejak Januari dalam kes yang didakwanya bermotifkan politik.



#Nicolas Sarkozy #Perancis #hukuman penjara #pembiayaan kempen #Libya