[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
DUNIA

Bekas Presiden Perancis Sarkozy mula jalani hukuman penjara 21 Okt - Laporan

Bernama 14/10/2025 | 05:15 MYT
Sarkozy telah dimaklumkan mengenai syarat penahanannya atas permintaan Pejabat Pendakwa Kewangan Negara (PNF). - Gambar fail/Reuters
PARIS: Bekas Presiden Perancis Nicolas Sarkozy akan menjalani hukuman penjara pada 21 Okt ini, susulan sabitan kes berkaitan dakwaan pembiayaan Libya terhadap kempen pilihan raya presidennya pada 2007, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Isnin.

Sarkozy telah dimaklumkan mengenai syarat penahanannya atas permintaan Pejabat Pendakwa Kewangan Negara (PNF).

Atas sebab keselamatan dan kerahsiaan, butiran mengenai penempatan penjara tidak akan didedahkan kepada umum.

Menurut sumber rapat yang dipetik saluran BFMTV, Sarkozy dijangka menjalani hukuman di Penjara La Sante di Paris.

Sebaik ditahan, pasukan pembelaannya boleh memfailkan permohonan pembebasan kepada Mahkamah Rayuan, yang mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat keputusan.

Pada 25 Sept lalu, Mahkamah Jenayah Paris menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Sarkozy atas konspirasi jenayah berkaitan dakwaan pembiayaan kempen 2007 oleh Libya.

Walaupun beliau telah mengemukakan rayuan, mahkamah memerintahkan hukuman itu dilaksanakan serta-merta atas alasan "keseriusan luar biasa" terhadap kesalahan berkenaan.

Sarkozy bakal menjadi bekas presiden Perancis pertama dalam sejarah moden yang menjalani hukuman penjara.

-- BERNAMA



#bekas presiden Perancis #Nicolas Sarkozy #jalani hukuman penjara #dana Libya #pilihan raya