DUNIA

Bekas Presiden Sri Lanka dimasukkan ke ICU sehari selepas dipenjara

Agensi 23/08/2025 | 23:20 MYT
Ranil Wickremesinghe dibawa ke penjara dengan menaiki bas dari mahkamah pada 22 Ogos lalu selepas beliau didakwa menyalahgunakan dana kerajaan untuk lawatan peribadi ke luar negara. - Gambar AP
COLOMBO: Bekas Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe yang kini menjalani tahanan reman, dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital kerajaan pada Sabtu selepas mengalami masalah kesihatan serius - sehari selepas didakwa menyalahgunakan dana kerajaan untuk lawatan peribadi ke luar negara.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Hospital Nasional Colombo, Dr Rukshan Bellana, Wickremesinghe, 76, dibawa ke hospital dalam keadaan dehidrasi teruk dan memerlukan pemantauan rapi bagi mengelakkan komplikasi serius.

“Beliau menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi yang agak kritikal ketika dibawa masuk. Namun, keadaannya kini stabil,” katanya kepada AFP.

Jurucakap penjara menjelaskan, keadaan kesihatan Wickremesinghe semakin merosot dan fasiliti perubatan penjara tidak mampu menampung rawatan yang diperlukan, sekali gus memaksa pemindahan ke hospital utama negara.

Sebelum itu, Ahli Parlimen pembangkang yang melawat beliau di Penjara New Magazine, Colombo, melaporkan bekas Presiden tersebut berada dalam keadaan bersemangat.

Parti pembangkang mendakwa, tindakan kerajaan menahan Wickremesinghe bermotifkan politik kerana bimbang beliau mampu kembali berkuasa.

Wickremesinghe kalah dalam Pilihan Raya Presiden September lalu kepada Anura Kumara Dissanayake tetapi kekal aktif dalam arena politik.

Beliau ditahan pada Jumaat lalu sebagai sebahagian daripada kempen antirasuah oleh pentadbiran Dissanayake, ketika Sri Lanka masih berusaha bangkit daripada krisis ekonomi terburuk pada 2022.

Ahli Parlimen parti pembangkang utama Samagi Jana Balawegaya (SJB), Nalin Bandara berkata, bekas Presiden itu menyeru agar semua pihak bersatu menentang apa yang digambarkan sebagai “penindasan kerajaan baharu”.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Kebangsaan Bersatu (UNP), Thalatha Athukorala berkata, kerajaan bimbang dengan pengaruh politik Wickremesinghe.

“Mereka takut beliau kembali berkuasa, sebab itu tindakan ini diambil,” katanya di Colombo.

Wickremesinghe berdepan tuduhan menggunakan dana kerajaan berjumlah 16.6 juta rupee (AS$55,000) bagi membiayai lawatan peribadi ke Britain pada September 2023, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Sidang Kemuncak G77 di Havana dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Lawatan dua hari itu adalah untuk menghadiri majlis penganugerahan gelaran profesor kehormat kepada isterinya, Maithree, oleh Universiti Wolverhampton.

Jika disabitkan kesalahan, Wickremesinghe berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara serta denda sehingga tiga kali ganda nilai dana yang disalahgunakan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, semua perbelanjaan perjalanan isterinya ditanggung sendiri dan tiada dana kerajaan digunakan.

Wickremesinghe dilantik sebagai Presiden pada Julai 2022 menggantikan Gotabaya Rajapaksa yang meletak jawatan selepas protes besar-besaran akibat krisis ekonomi negara. - Agensi




#Ranil Wickremesinghe #bekas presiden sri lanka #Wickremesinghe dipenjara #ICU