DUNIA
Bekas presiden, timbalan presiden dijangka hadir ucapan negara Prabowo

Pihak pemerintah menjangkakan kehadiran Megawati Soekarnoputri, Susilo Bambang Yudhoyono, dan Joko Widodo.
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menjemput semua bekas presiden dan timbalan presiden untuk menghadiri ucapan tahunan Presiden Prabowo Subianto di Kompleks Parlimen pada Jumaat (15 Ogos), menurut Pejabat Komunikasi Presiden (PCO).
"Berkenaan senarai tokoh yang dijangka hadir pada ucapan presiden pada Jumaat, kami boleh mengesahkan yang semua presiden dan timbalan presiden yang pernah berkhidmat dijemput," kata Ketua PCO, Hasan Nasbi kepada media di Jakarta pada Khamis, lapor agensi berita Antara.
Ini bermakna pemerintah menjangkakan kehadiran Presiden Kelima Megawati Soekarnoputri, Presiden Keenam Susilo Bambang Yudhoyono, dan Presiden Ketujuh Joko Widodo.
Antara bekas timbalan presiden yang dijangka hadir ialah Timbalan Presiden keenam Try Sutrisno, Timbalan Presiden ke-10 dan ke-12 Jusuf Kalla, Timbalan Presiden ke-11 Boediono, dan Timbalan Presiden ke-13 Ma'ruf Amin."Kami berharap acara nanti akan menjadi detik untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian nasional serta mempertemu tokoh elit politik. Oleh itu, kami berharap semua bekas presiden dan timbalan presiden akan hadir ke ucapan negara ini," katanya.
Hasan memaklumkan yang Presiden Prabowo dijadual menyampaikan dua ucapan negara di Kompleks Parlimen bermula 9 pagi waktu tempatan. Ucapan pertama di hadapan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) akan merangkumi pencapaian kerajaan dalam masa 300 hari pertama pentadbiran.
Ucapan kedua, semasa sesi pleno Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada 2:30 petang, akan membentangkan Draf Belanjawan Negara 2026 (RAPBN).
Hasan turut memaklumkan surat yang dikeluarkan oleh Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi pada 12 Ogos yang menggalakkan semua institusi kerajaan, syarikat, dan rakyat untuk mengikuti siaran langsung kedua-dua ucapan melalui pelbagai saluran yang disediakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami