DUNIA
Bekas Presiden Zambia akan dikebumi di Afrika Selatan selepas pertikaian majlis pengebumian
Lungu meninggal dunia awal bulan ini di Pretoria ketika menerima rawatan untuk penyakit yang tidak didedahkan. - Foto AP
JOHANNESBURG: Bekas Presiden Zambia, Edgar Lungu, akan dikebumikan di Afrika Selatan selepas pertikaian sengit antara keluarganya dan kerajaan Zambia mengenai pengurusan majlis pengebumiannya.
Lungu, yang meninggal dunia awal bulan ini di Pretoria ketika menerima rawatan untuk penyakit yang tidak didedahkan, sepatutnya menerima pengebumian negara di Lusaka pada 22 Jun.
Namun, keluarganya membatalkan pemulangan jasad ke Zambia pada saat akhir, mendakwa kerajaan telah melanggar persetujuan yang dicapai mengenai atur cara pengebumian.
Dalam satu kenyataan, jurucakap keluarga, Makebi Zulu, mengumumkan bahawa upacara pengebumian akan diadakan secara tertutup di Johannesburg, selaras dengan hasrat keluarga dan wasiat mendiang.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan Afrika Selatan kerana menghormati keputusan kami dan tidak campur tangan dalam saat yang penuh emosi ini,” katanya.
Presiden Zambia, Hakainde Hichilema, yang menggantikan Lungu selepas pilihan raya 2021, menyatakan kekecewaannya dan menamatkan tempoh berkabung negara lebih awal daripada yang dijadualkan.
Beliau menegaskan bahawa sebagai bekas ketua negara, Lungu “milik rakyat Zambia” dan sepatutnya dikebumikan di tanah air dengan penghormatan penuh.
Pertikaian ini mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk parti pembangkang Patriotic Front (PF) yang menyokong keluarga Lungu dan menuduh kerajaan menjadikan majlis pengebumian sebagai medan politik.
Pemimpin masyarakat sivil dan agama turut menyeru agar semua pihak menunjukkan kerendahan hati dan mencari penyelesaian yang menjaga maruah negara.
Lungu memimpin Zambia dari 2015 hingga 2021 dan kekal sebagai tokoh berpengaruh dalam politik negara meskipun dilarang bertanding semula oleh Mahkamah Perlembagaan.
Beberapa ahli keluarganya kini menghadapi tuduhan rasuah, yang menurut mereka adalah sebahagian daripada dendam politik.