JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan bekas Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas, Febrie Adriansyah, selepas beliau dinamakan sebagai suspek dalam kes pengubahan wang haram.
Penahanan itu dibuat susulan siasatan Kor Pembanterasan Rasuah Polis Negara (Kortastipidkor) yang merampas sejumlah besar wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta 74 kilogram jongkong emas daripada beberapa premis yang dikaitkan dengannya.
Penyelaras Tim 9 yang juga Timbalan Peguam Negara bagi Pengawasan, Rudi Margono, mengesahkan Febrie ditahan selama 20 hari selepas menjalani pemeriksaan selama kira-kira 10 jam di Pejabat Peguam Negara Indonesia di Jakarta Selatan, malam tadi.
Menurut Rudi, Febrie ditempatkan di Pusat Tahanan Gedung Merah Putih Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) bagi memastikan proses siasatan berjalan secara telus dan teratur, selain memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa.
Febrie meletak jawatan sebagai Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas pada 11 Julai lalu selepas polis menjalankan beberapa serbuan, termasuk di kediamannya di Sentul, Bogor.
Siasatan menemukan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas yang mencetuskan desakan daripada kumpulan masyarakat sivil supaya tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan atau jawatan individu terbabit.
Bagaimanapun, ketika dibawa ke kenderaan tahanan, Febrie menafikan melakukan sebarang kesalahan berkaitan beberapa siasatan yang sedang dijalankan, termasuk kes melibatkan syarikat insurans milik negara PT Asabri dan pembekalan arang batu kepada stesen janakuasa.
Beliau turut mendakwa dia menjadi mangsa tindakan yang bermotifkan pihak tertentu.
Peguamnya, Febri Diansyah, berkata anak guamnya akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses perundangan, namun berharap kes itu dinilai secara adil dan berdasarkan fakta tanpa dipengaruhi pertimbangan politik sebelum dibawa ke mahkamah.