DUNIA
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan disiasat berhubung dakwaan rasuah

Kim Keon Hee hadir untuk disiasat oleh pasukan pendakwa khas yang diketuai oleh Min Joong-ki pagi Rabu, berhubung pelbagai dakwaan termasuk rasuah, manipulasi saham dan campur tangan politik. - Gambar Reuters
SEOUL: Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee hadir untuk disiasat oleh pasukan pendakwa khas yang diketuai oleh Min Joong-ki pagi Rabu, berhubung pelbagai dakwaan termasuk rasuah, manipulasi saham dan campur tangan politik.
Kim yang merupakan isteri kepada bekas Presiden Yoon Suk Yeol tiba di bangunan KT West di Jongno-gu, di sini, pada jam 10.11 pagi, ditemani peguamnya.
Sebelum memasuki pejabat pendakwa khas, Kim berkata kepada media: "Saya dengan tulus memohon maaf kepada rakyat kerana menimbulkan kebimbangan, walaupun saya hanyalah insan biasa. Saya akan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan ini."
Apabila ditanya apa yang ingin disampaikan kepada rakyat, beliau menjawab ringkas: "Saya minta maaf."Kehadiran Kim menjadikan beliau sebagai bekas Wanita Pertama yang pertama dalam sejarah Korea Selatan disiasat sebagai suspek oleh pihak pendakwaan.
Sepanjang sejarah negara itu, belum pernah ada isteri mana-mana Presiden tampil untuk soal siasat semasa suami mereka masih memegang jawatan atau selepas tempoh pentadbiran berakhir.
Sebelum ini, dua bekas Wanita Pertama, Lee Soon-ja, isteri kepada bekas Presiden Chun Doo-hwan, dan Kwon Yang-sook, isteri kepada bekas Presiden Roh Moo-hyun turut dipanggil oleh pihak pendakwaan pada tahun 2004 dan 2009.
Namun, mereka hanya dipanggil sebagai individu berkepentingan dan tidak muncul secara terbuka di hadapan media.
Sebab mereka dipanggil hanya diketahui umum selepas siasatan selesai.
Pasukan pendakwa khas kini sedang menyiasat 16 dakwaan berkaitan Kim Keon Hee, namun, tumpuan utama siasatan hari ini adalah terhadap penglibatannya dalam manipulasi harga saham syarikat pengedar kereta import Deutsch Motors, serta kes rasuah dan salah guna pengaruh semasa Pilihan Raya Kecil Korea Selatan pada 2022.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami