Skip to main content

Dunia

Belanda beri amaran kemunculan generasi baharu penjenayah siber muda Barat

71765333428_Cyberscammergene.jpg
Suspek secara umumnya berusia antara 11 hingga 25 tahun dan didorong terutamanya oleh wang serta status, bukannya matlamat politik atau ideologi. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Polis dan pendakwa raya Belanda pada Khamis memberi amaran mengenai kemunculan generasi baharu penjenayah siber muda yang beroperasi melalui rangkaian dalam talian yang mempunyai hubungan longgar di negara Barat, lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan.

Suspek secara umumnya berusia antara 11 hingga 25 tahun dan didorong terutamanya oleh wang serta status, bukannya matlamat politik atau ideologi, menurut penyiar awam NOS yang memetik Tinjauan Tahunan Jenayah Siber Belanda.

“Mereka ini ialah individu berusia antara 11 hingga 25 tahun,” kata Stan Duijf, pegawai polis yang bertanggungjawab menangani jenayah siber.

“Mereka kebanyakannya berasal dari negara Barat, bertutur dalam bahasa Inggeris, bekerja dalam  rangkaian dalam talian dan terutamanya melakukan kecurian data serta mata wang kripto,” kepadanya.

Duijf berkata agensi penguat kuasa sebelum ini sebahagian besarnya memberi tumpuan kepada penjenayah siber yang berpangkalan di negara seperti Rusia, yang menyukarkan pihak berkuasa Barat mendapatkan akses.

“Sekarang kita melihat bahawa penjenayah dari negara Barat yang sedang muncul benar-benar wujud, bekerjasama dalam talian dan melakukan bentuk jenayah siber yang serius,” katanya.

Laporan itu memetik satu serangan awal tahun ini terhadap penyedia telekomunikasi Belanda, Odido, yang didakwa dilakukan oleh penjenayah yang beroperasi menggunakan nama ShinyHunters.

Penggodam menuntut wang tebusan selepas mencuri maklumat peribadi milik enam juta pelanggan. Selepas Odido enggan membuat bayaran, data itu ditawarkan untuk dijual dalam talian.

Pihak berkuasa memberi amaran yang golongan muda boleh terjebak dalam jenayah siber melalui permainan dalam talian seperti Roblox, Fortnite dan Minecraft, pada mulanya melakukan salah laku kecil sebelum beralih kepada kesalahan yang lebih serius.

Dianggarkan 2.5 juta orang di Belanda menjadi mangsa jenayah siber pada 2025.

Polis turut memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) memudahkan serangan siber dilakukan, di samping menjadikan penipuan, termasuk e-mel phishing, semakin sukar dikenal pasti oleh orang awam.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement