[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Belanda minta Israel beri penjelasan kematian wartawan Al Jazeera di Gaza

Bernama 12/08/2025 | 20:15 MYT
Pasukan Pertahanan Israel mengaku melancarkan serangan ke atas wartawan Al Jazeera terkenal, Anas Al-Sharif (gambar), yang dituduh bekerja untuk kumpulan Palestin Hamas. - Gambar fail/media sosial
MOSCOW: Belanda berhasrat meminta Israel memberi penjelasan mengenai keadaan kematian wartawan Al Jazeera di Semenanjung Gaza, menurut seorang jurucakap Kementerian Luar Belanda pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Ahad, Al Jazeera melaporkan kematian empat kakitangannya, termasuk seorang wartawan terkenal, Anas Al-Sharif, selepas Israel menyerang sebuah khemah wartawan berhampiran sebuah hospital di Bandaraya Gaza.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah mengaku melancarkan serangan ke atas Al-Sharif, yang dituduh bekerja untuk kumpulan Palestin Hamas. Penyiar itu kemudian mengemas kini jumlah kakitangannya yang terbunuh dalam serangan Israel di Gaza kepada lima orang.

"Israel mesti sentiasa bertindak selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa... Belanda, seperti juga Jerman, meminta penjelasan mengenai perkara ini," kata jurucakap Kementerian Luar itu seperti yang dipetik oleh penyiar NOS.

Kerajaan Belanda menuntut agar Israel mengemukakan bukti yang boleh menyokong dakwaan bahawa Al-Sharif bekerja untuk Hamas, lapor penyiar itu.

"Kewajipan untuk membuktikan dakwaan sedemikian terletak pada Israel," kata jurucakap itu.

Pada mesyuarat menteri-menteri Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin, Menteri Luar Belanda Caspar Veldkamp turut menarik perhatian kepada peningkatan keganasan terhadap wartawan semasa konflik di Gaza, tambah jurucakap itu.

-- BERNAMA




#Belanda #wartawan al jazeera #Anas al-Sharif #Israel #Gaza