DUNIA

Belarus bebaskan 123 tahanan termasuk pemenang Nobel Ales Bialiatski, AS tarik balik sekatan

Astro Awani 13/12/2025 | 23:30 MYT
Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Ales Bialiatski, salah seorang tahanan Belarus yang dibebaskan, tersenyum dikelilingi penyokongnya sebaik tiba di Kedutaan AS di Vilnius, Lithuania. - Foto AP
MINSK: Kerajaan Belarus telah membebaskan 123 orang tahanan, termasuk penerima Hadiah Keamanan Nobel Ales Bialiatski dan beberapa tokoh pembangkang utama, sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penarikan balik sekatan ekonomi terhadap negara itu.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Belarus membebaskan 123 tahanan, termasuk penerima Hadiah Keamanan Nobel Ales Bialiatski dan tokoh pembangkang, hasil perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS).
  • Tindakan dramatik ini berikutan rundingan antara Presiden Alexander Lukashenko dan utusan khas Presiden AS Donald Trump, John Coale, di Minsk.
  • Pembebasan tahanan adalah sebahagian daripada usaha Belarus untuk pulihkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan AS, selepas sekatan ekonomi akibat tindakan keras terhadap pembangkang dan sokongan kepada Rusia dalam konflik Ukraine.


Langkah dramatik ini diumumkan selepas dua hari rundingan antara Presiden Belarus Alexander Lukashenko dan utusan khas Presiden AS Donald Trump, John Coale, di Minsk.

Sebagai balasan kepada pembebasan tahanan, Washington bersetuju untuk menarik balik sekatan terhadap industri potash Belarus, khususnya syarikat milik negara Belaruskali, antara pengeluar baja terbesar dunia.

Antara yang dibebaskan termasuk Bialiatski, aktivis hak asasi manusia yang menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 2022, serta Maria Kalesnikava, tokoh pembangkang yang dipenjarakan sejak 2020.

Mereka sebelum ini ditahan atas tuduhan berkaitan “pengintipan, keganasan dan ekstremisme”.

Menurut kenyataan rasmi Belarus, pembebasan itu bertujuan “memulihkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan AS” selepas bertahun-tahun dikenakan sekatan akibat tindakan keras terhadap pembangkang dan sokongan Minsk terhadap Rusia dalam konflik Ukraine.

Kenderaan yang membawa tahanan yang dibebaskan dilihat tiba di Kedutaan AS di Vilnius, Lithuania, pada Sabtu.

Pihak berkuasa Belarus turut memaklumkan bahawa beberapa warga asing turut termasuk dalam senarai pembebasan tersebut.

Langkah ini dilihat sebagai pembebasan tahanan politik terbesar oleh Lukashenko sejak beliau mula berunding dengan Washington awal tahun ini.

Namun, kumpulan hak asasi manusia memberi amaran bahawa masih ramai lagi aktivis dan wartawan yang ditahan secara tidak adil di Belarus.





#pembebasan tahanan #sekatan #Ales Bialiatski #tokoh pembangkang