DUNIA

Belgium sokong semua sekatan EU terhadap Israel - Perdana Menteri

Bernama 16/09/2025 | 22:30 MYT
De Wever mempertahankan persetujuan terbaharu kerajaan mengenai Palestin yang disifatkannya sebagai "kompromi terbaik yang boleh dicapai." - Gambar fail Reuters
BRUSSELS: Perdana Menteri Belgium, Bart De Wever berkata, negaranya akan menyokong semua sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Israel susulan konflik berterusan di Gaza, dengan menyifatkan langkah itu diperlukan untuk memberi tekanan ke atas Tel Aviv, lapor Anadolu Ajansi.

Berucap di Parlimen menjelang lawatannya ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), De Wever mempertahankan persetujuan terbaharu kerajaan mengenai Palestin yang disifatkannya sebagai "kompromi terbaik yang boleh dicapai."

"Kami memutuskan untuk memberi tekanan kepada Israel, jadi kami akan menyokong setiap sekatan yang boleh dicadangkan EU, setiap satu tanpa perbincangan. Malah kami sudah melaksanakan sekatan di peringkat Persekutuan," katanya seperti dipetik media tempatan.

Perdana Menteri itu turut menekankan pengaruh terhad Belgium dalam gelanggang geopolitik yang lebih luas.

"Mengatakan bahawa Belgium adalah kuasa besar yang benar-benar boleh mempengaruhi geopolitik atau menyelesaikan masalah di Timur Tengah adalah satu pembohongan kepada rakyat," katanya.

De Wever sekali lagi menegaskan sokongannya terhadap penyelesaian dua negara, dengan berkata: "Saya percaya rakyat Palestin mempunyai hak untuk memiliki negara sendiri dan hidup aman serta wujud bersama dengan Israel."

Perancis dan beberapa negara Barat termasuk Belgium, United Kingdom, Kanada dan Australia merancang mengiktiraf kenegaraan Palestin semasa mesyuarat Perhimpunan Agung PBB dari 8 hingga 23 Sept, menyertai 147 negara yang sudah berbuat demikian.

Tentera Israel telah membunuh hampir 65,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023. Pengeboman berterusan itu menjadikan wilayah berkenaan tidak lagi sesuai didiami serta mencetuskan kebuluran dan penularan penyakit.

-- BERNAMA



#Belgium #sekatan EU #sekat Israel #Perdana Menteri Belgium #Bart De Wever