DUNIA

Belgium umum akan iktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung PBB

Astro Awani 02/09/2025 | 02:30 MYT
Pengiktirafan oleh Belgium dijangka memberi tekanan tambahan kepada negara-negara Barat lain untuk mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap konflik Israel-Palestin. - Foto AP
BRUSSELS: Belgium mengumumkan bahawa ia akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin semasa sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung bulan ini di New York.


Ringkasan AI
  • Belgium akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin semasa sesi Perhimpunan Agung PBB bulan ini di New York.
  • Pengiktirafan disertai 12 bentuk sekatan terhadap Israel, termasuk larangan import dari penempatan haram dan sekatan diplomatik.
  • Langkah ini dijangka tingkatkan tekanan antarabangsa untuk penyelesaian dua negara dan sokongan terhadap usaha damai di Gaza.


Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa.

Langkah bersejarah ini menjadikan Belgium antara negara Eropah yang menyertai gelombang sokongan terhadap penyelesaian dua negara, di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

Prevot menyatakan bahawa pengiktirafan ini akan diformalisasikan melalui dekri diraja sebaik sahaja tebusan terakhir Israel dibebaskan dan Hamas tidak lagi memainkan peranan dalam pentadbiran Gaza.

“Palestin akan diiktiraf oleh Belgium di sesi PBB! Dan sekatan tegas sedang dilaksanakan terhadap kerajaan Israel,” tulis Prevot di platform X.

Selain pengiktirafan, Belgium turut mengumumkan 12 bentuk sekatan terhadap Israel, termasuk larangan import produk dari penempatan haram, semakan semula kontrak awam dengan syarikat Israel, serta sekatan diplomatik terhadap individu tertentu yang dikaitkan dengan ekstremisme dan keganasan.

Langkah ini menyusul selepas pengumuman serupa oleh Perancis, Kanada dan United Kingdom, yang turut menyatakan hasrat untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat di pentas antarabangsa.

Setakat ini, lebih 140 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.

Pengiktirafan oleh Belgium dijangka memberi tekanan tambahan kepada negara-negara Barat lain untuk mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap konflik Israel-Palestin, serta memperkukuh usaha diplomatik ke arah penyelesaian damai yang berkekalan.






#Palestin #Perhimpunan Agung PBB #iktiraf #Maxime Prevot