KUALA LUMPUR : Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Dennis Francis mengingatkan setiap pihak yang terlibat dalam perang Israel dan Palestin untuk sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa.

Beliau ketika berucap dalam Sesi Khas Kecemasan ke-10 UNGA di ibu pejabatnya di New York pada Khamis menegaskan bahawa sebarang tindakan yang bertujuan untuk menyekat keperluan asas rakyat Palestin di Gaza ketika ini adalah merupakan satu tindakan yang jelas melanggar hak asasi manusia.

"Semua pihak dalam konflik ini harus mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan segera mewujudkan syarat yang diperlukan untuk membolehkan pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.

"Kita mesti memastikan bahawa bantuan yang diperlukan dalam menyelamatkan nyawa sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Dari bantuan makanan serta ubat-ubatan, sebarang tindakan yang bertentangan jelas melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa," jelas beliau.

Francis pada awal ucapannya turut mengutuk tindakan keganasan kepada orang awam terutama yang melibatkan golongan wanita serta kanak-kanak sama ada di Israel mahupun terhadap rakyat Palestin. 

Beliau antara lain turut mengingatkan perwakilan-perwakilan PBB pada sesi itu untuk tidak menggunakan platform PBB untuk memanaskan situasi, sebaliknya menggalakkan lagi kebersatuan antara negara-negara anggota.