DUNIA

AS benarkan Korea Selatan bina kapal selam berkuasa nuklear - Trump

Bernama 30/10/2025 | 11:15 MYT
Trump dalam hantaran di platform Truth Social memaklumkan bahawa kapal selam itu akan dibina di Philadelphia. - Reuters
GYEONGJU : Amerika Syarikat (AS) akan membenarkan Korea Selatan membina kapal selam berkuasa nuklear, kata Presiden AS Donald Trump pada Rabu, sambil menyifatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara sekutu itu kini "lebih kukuh berbanding sebelumnya," lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Trump dalam hantaran di platform Truth Social memaklumkan bahawa kapal selam itu akan dibina di Philadelphia.

"Saya telah memberi kelulusan kepada mereka untuk membina kapal selam berkuasa nuklear, berbanding kapal selam berkuasa diesel yang usang seperti yang mereka miliki sekarang," katanya dalam satu hantaran lain yang kemudian dipadamkan.

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung sebelum ini meminta akses kepada bahan api untuk kapal selam nuklear semasa pertemuannya dengan Trump pada Rabu.

Penasihat keselamatan negara Korea Selatan, Wi Sung Lac berkata, Trump bersetuju secara prinsip tetapi menegaskan keperluan rundingan lanjut.

Eksport bahan api nuklear bagi kegunaan kapal selam merupakan isu sensitif dari segi politik kerana ia melibatkan uranium diperkaya-- bahan yang sama digunakan dalam pembuatan senjata nuklear.

Kapal selam berkuasa nuklear mempunyai kelebihan strategik kerana mampu berada di dalam laut selama beberapa bulan, berbanding kapal selam berkuasa diesel konvensional yang perlu muncul ke permukaan dengan lebih kerap.

Langkah itu dilihat sebagai memperkukuh hubungan keselamatan antara Washington dan Seoul, dua sekutu utama dalam usaha mengekang pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik.

Dalam siri lawatannya ke Asia, Trump turut berjanji untuk memperluas kerjasama pertahanan dan ekonomi dengan Jepun.

Trump turut memaklumkan bahawa Korea Selatan bersetuju menyediakan AS$350 bilion kepada AS sebagai pertukaran bagi pengurangan tarif ke atas import dari negara itu.

Menurut Seoul, sebanyak AS$200 bilion akan dibayar secara tunai, manakala selebihnya akan dilaburkan dalam projek pembinaan kapal bersama.

Trump juga berkata bahawa syarikat dan pelabur Korea Selatan turut berjanji untuk melabur sebanyak AS$600 bilion lagi di Amerika Syarikat.

-- BERNAMA


#Amerika Syarikat #Korea Selatan #kapal selam #kuasa nuklear #Donald Trump