[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Bencana alam di Vietnam sebabkan 409 maut atau hilang tahun ini

Bernama 25/11/2025 | 20:10 MYT
Di Vietnam, bencana banjir turut menyebabkan 337,297 rumah runtuh, dihanyutkan, rosak atau kehilangan bumbung; serta ratusan ribu hektar tanaman terjejas teruk. (Foto AP)
HANOI: Bencana alam yang berlaku secara berterusan dan teruk sejak awal 2025 di Vietnam mengakibatkan 409 orang maut atau hilang selain 727 lagi cedera, dengan kerugian ekonomi dianggarkan melebihi 85 trilion VND (AS$3.2 bilion), lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).


Ringkasan AI
  • Bencana alam di Vietnam sejak awal 2025 menyebabkan 409 orang maut atau hilang, 727 cedera, dan kerugian ekonomi melebihi 85 trilion VND.
  • Banjir teruk di Vietnam turut meruntuhkan ribuan rumah, sawah padi, dan tanaman lain, memberi impak besar kepada masyarakat.
  • Ramalan risiko banjir besar di wilayah tengah masih tinggi, dengan taufan ke-15 yang mungkin melanda wilayah selatan-tengah, memerlukan persediaan awal untuk mengurangkan kesan bencana.


Bencana turut menyebabkan 337,297 rumah runtuh, dihanyutkan, rosak atau kehilangan bumbung; serta 553,417 hektar sawah padi dan tanaman lain dan 376,792 hektar tanaman lain lagi, ditenggelami air dan rosak.

Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti dan Komunikasi di bawah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Daik Vietnam, Nguyen Ton Quan berkata 14 taufan dan lima lekukan tropika berlaku di Laut Timur setakat tahun ini.

Jumlah itu hanya kurang satu daripada rekod 2017, yang menyaksikan 20 taufan dan lekukan tropika.

Jumlah tahun ini bagaimanapun dijangka terus meningkat kerana lekukan tropika sedang aktif di perairan Filipina dan berkemungkinan memasuki Laut Timur dan menjadi taufan ke-15 dalam beberapa hari akan datang.

Quan berkata hujan lebat luar biasa dan banjir besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini di 13 lembangan sungai di wilayah utara dan tengah Vietnam menyebabkan banjir teruk di kawasan bandar serta kawasan rendah.

Lebih membimbangkan, banyak kawasan dilanda pelbagai jenis bencana dalam tempoh masa yang singkat, mewujudkan corak bencana berganda, taufan berturut-turut, banjir berulang, banjir kilat dan tanah runtuh terutamanya di wilayah pergunungan utara, tengah dan kawasan tanah tinggi.

Semua kejadian ini menimbulkan ancaman serius terhadap infrastruktur pencegahan bencana, kemudahan awam dan sistem daik, sekali gus menyebabkan kerugian nyawa dan harta benda yang sangat besar.

Beliau meramalkan berbaki bulan 2025, masih terdapat risiko berlakunya banjir besar di wilayah tengah.

Secara khusus, dalam beberapa hari akan datang, taufan ke-15 mungkin terbentuk di Laut Timur dan berpotensi melanda daratan serta terus menyebabkan banjir di wilayah bahagian selatan-tengah.

Oleh itu, beliau menasihatkan agar pihak berkuasa tempatan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kerosakan akibat banjir baru-baru ini agar bersedia menghadapi bencana alam yang bakal berlaku.

-- BERNAMA



#Vietnam #banjir #taufan #Lekukan Tropika