Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 29, 2020 12:04 MYT
Berikut adalah antara berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 29 Mei 2020.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 29 Mei 2020.
1) Kes COVID-19 di Indonesia meningkat melebihi 25,000 kes, kematian 1,520
Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat dengan melepasi angka 25,000, dengan jumlah kematian kini 1,520 orang.
Menurut jurucakap kerajaan Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto,bagi tempoh 24 jam sejak 12 tengah hari semalam, sebanyak 678 tambahan kes positif baharu, manakala sebanyak 24 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.
2) Thailand: Kira-kira 8.4 juta orang dijangka hilang pekerjaan akibat COVID-19
Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Nasional (NESDC) Thailand menganggarkan kira-kira 8.4 juta pekerja di negara itu berkemungkinan hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
Menurut laporan mengenai unjuran dan situasi sosial Thailand bagi suku pertama 2020, agensi perancangan negara itu berkata sebanyak 2.5 juta pekerja sektor pelancongan, 1.5 juta pekerja perindustrian dan 4.4 juta pekerja dalam sektor perkhidmatan (selain pelancongan) menghadapi risiko kehilangan mata pencarian mereka.
3) Data tidak tepat punca ramai anggap COVID-19 di Indonesia tidak serius
Jumlah sebenar jangkitan positif COVID-19 di Indonesia dijangka mungkin 20 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada yang dilaporkan. Begitu juga dengan kes kematian iaitu tiga hingga empat kali ganda berbanding angka yang didedahkan pemerintah, kata pakar epidemiologi Universitas Indonesia Dr Pandu Riono ketika dihubungi Astro AWANI.
Keadaan itu sekali gus menjejaskan banyak pihak yang beranggapan pandemik COVID-19 tidak serius.
4) COVID-19: Thailand rancang pendekkan tempoh perintah berkurung sebelah malam selama sejam
Thailand merancang untuk memendekkan tempoh perintah berkurung lima jam pada waktu malam yang berlangsung ketika ini di negara itu dari 11 malam hingga 4 pagi selama sejam di bawah fasa ketiga pelonggaran sekatan bermula 1 Jun ini.
5) COVID-19: Angka kematian global melepasi 358,235 kes
Angka korban akibat COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan kenaikan 5,000 kes dalam masa 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu melepasi 358,000 kes.
Menurut statistik Johns Hopkins University, Amerika Syarikat mempunyai angka kematian melepasi 100,000 kes.
United Kingdom dan Itali berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing mencatatkan lebih 37,000 dan 33,000 kes.
6) COVID-19: Jumlah kes positif global kini 5.76 juta
Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 5.76 juta. Menurut data dari Johns Hopkins University, dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan 110,000 kes. Amerika Syarikat satu-satunya negara yang mempunyai kes melebihi 1 juta dengan jumlah kumulatif 1.71 juta.
7) Singapura kaji semula kriteria discaj bagi pesakit COVID-19
Singapura telah mengkaji semula kriteria discaj bagi pesakit COVID-19 yang bakal menyaksikan mereka akan dinilai sebagai sihat dari segi klinikal menjelang Hari ke-21 jangkitan bermula tanpa perlu menjalani ujian lanjut reaksi rantai polimerase (PCR).
8) Nissan Motor rugi AS$6.2b: Kilang di Catalonia ditutup, 3,000 orang hilang kerja
Nissan Motor mencatat kerugian bersih AS$6.2 bilion untuk tahun yang berakhir pada Mac ketika pandemik COVID-19. Hasil kewangan tahunan melebihi kerugian syarikat sebanyak 233 bilion Yen untuk 12 bulan yang berakhir pada Mac 2009, tahun yang dikuasai dengan krisis kewangan global.
9) Singapura, Malaysia runding isu pekerja ulang-alik
Singapura sedang berbincang dengan Malaysia berhubung isu berkaitan pekerja yang ingin berulang-alik setiap hari menerusi jalan darat, kata Menteri Pembangunan Negara republik itu, Lawrence Wong.
Walaupun kedua-dua negara melaksanakan langkah perjalanan yang lebih ketat ketika ini untuk mengekang penyebaran COVID-19, Wong berkata kedua-dua pihak perlu melihat cara terbaik memenuhi keperluan pekerja.
10) Pantai dibuka, rakyat Perancis tidak sabar untuk berjemur
OCCITANIE: Sebuah pantai terkenal di Perancis telah mengeluarkan garis panduan khas bagi membolehkan orang ramai bercuti dan berjemur ketika negara itu masih bergelut dengan krisis pandemik COVID-19.
Pengunjung pantai di La Grande-Motte, yang terletak di selatan negara itu, dibenarkan berjemur yang menjadi aktiviti popular, namun mereka diwajibkan berada dalam zon masing-masing.
#AS #Astro #Astro Awani #Bangkok #COVID #ekonomi #Indonesia #Itali #Malaysia #menteri #Nissan #rakyat #Thailand #United Kingdom