Jumlah sebenar jangkitan positif COVID-19 di Indonesia dijangka mungkin 20 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Begitu juga dengan kes kematian iaitu tiga hingga empat kali ganda berbanding angka yang didedahkan pemerintah, kata pakar epidemiologi Universitas Indonesia Dr Pandu Riono ketika dihubungi Astro Awani.

Keadaan itu sekali gus menjejaskan banyak pihak yang beranggapan pandemik COVID-19 tidak serius.

“Memang dalam pandemik, timbul masalah data yang tidak sempurna. Berdasarkan model dan anggaran kami, jumlah sebenar adalah antara 20 ke 30 peratus (lebih tinggi) daripada yang dilaporkan,” kata Dr Pandu.

Beliau berpandangan bahawa kurangnya kes yang direkodkan berbanding realiti berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pembatasan dalam kadar ujian saringan yang dijalankan serta dalam proses pencatatan kes.



Dalam masa yang sama, jumlah pesakit positif COVID-19 dalam kalangan bawah umur 60 tahun agak tinggi di Indonesia berbanding negara lain.

Walaupun warga emas lazimnya menjadi golongan paling berisiko menjangkiti virus itu, namun situasinya berbeza di negara itu.



Menurut Dr Pandu, ini ekoran golongan muda Indonesia turut mempunyai penyakit lain, terutamanya sakit jantung dan penyakit kencing manis selain sebahagian besar anak muda juga merupakan perokok tegar.

“Sebahagian besar anak muda Indonesia adalah perokok berat. Ini menjadikan mudah bagi mereka, jika dijangkiti COVID-19, jatuh kepada situasi yang getir dan tidak tertolong,” kata Dr Pandu.

Setakat 28 Mei, Indonesia melaporkan 687 kes positif baharu dan 23 lagi kematian, menjadi kes positif keseluruhan lebih 24,000 dengan seramai 1,496 angka korban.