Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Khairunnisa Kasnoon
November 30, 2020 15:37 MYT
November 30, 2020 15:37 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 30 November 2020.
Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi 62.55 juta. Ini berikutan lebih 550,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Kumpulan pop sensasi Korea Selatan BTS sekali lagi mengungguli carta Billboard 200 dengan album terbaharu mereka ‘BE’ pada Ahad.
Album tersebut menduduki tangga pertama susulan terjual 242,000 unit yang setara dengan album di Amerika Syarikat (AS) pada minggu pertama ia diterbitkan, menurut data Nielsen Music.
Polis Argentina menggeledah kediaman dan pejabat salah seorang doktor kepada bintang bola sepak Diego Maradona, pada Ahad.
Ini susulan siasatan berhubung salah laku perubatan hingga menyebabkan kematian legenda bola sepak berusia 60 tahun itu.
Syarikat teknologi perubatan dari Singapura, Cell ID mendakwa mereka berjaya menghasilkan kit ujian polymerase chain reaction (PCR) yang dapat mengeluarkan keputusan positif COVID-19 dalam masa lima minit.
Sebuah gunung berapi di Nusa Tenggara Timur, Indonesia yang menghamburkan debu panas setinggi 4 kilometer sejak Ahad meresahkan penduduk setempat yang bimbang akan nasib keselamatan mereka, lapor agensi mitigasi bencana republik itu.
Pelajar di Indonesia dijangka memulakan sesi persekolahan pada Januari 2021 di sebalik penularan COVID-19.
Menteri Pelajaran dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim memaklumkan, pembukaan sesi persekolahan itu berpandukan tahap risiko jangkitan virus, persediaan pihak sekolah dan protokol kesihatan yang teratur.
Firma biotech Amerika Syarikat (AS), Moderna Inc akan mengemukakan permohonan kebenaran kecemasan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) untuk menggunakan penghasilan vaksinnya.
Perancis berpendapat tindakan provokasi dan menghina orang lain adalah hak asasi manusia sedangkan ia bukanlah begitu kerana kebebasan ada hadnya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dijangka mengisytiharkan darurat iklim sebagai simbolik meningkatkan tekanan memerangi pemanasan global.
Thailand berusaha mengesan 200 individu yang menjadi kontak rapat tiga warganya yang pulang menggunakan lorong tikus dari Myanmar sebelum didapati positif COVID-19.