Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
November 9, 2021 15:50 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 9 November 2021.
1. Hukuman mati terhadap Nagaenthran ditangguh selepas positif COVID-19
Mahkamah Singapura pada Selasa menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia D Nagaenthran atas dasar "kewarasan dan kemanusiaan (common sense and humanity)" selepas lelaki berusia 33 tahun itu disahkan positif COVID-19.
2. UK senaraikan Sinovac, Sinopharm, Covaxin sebagai vaksin diluluskan
United Kingdom (UK) pada Isnin mengumumkan vaksin Sinovac dan Sinopharm keluaran China serta vaksin Covaxin dihasilkan India bakal dimasukkan ke dalam senarai vaksin COVID-19 yang diluluskan negara itu.
3. Ismail Sabri tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi ke Indonesia
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Jakarta pada Selasa untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia atas undangan Presiden Joko Widodo.
4. AS buka pintu kepada pengembara antarabangsa, syarikat penerbangan tarik nafas lega
Selepas hampir 20 bulan menutup pintu kepada pengembara dari luar negara, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin membuka pintunya kepada pengembara antarabangsa yang telah divaksin.
5. Travis Scott biaya kos upacara pengebumian mangsa, berdepan tindakan saman
Penyayi rap Travis Scott mengumumkan akan membiayai kos upacara pengebumian lapan mangsa yang meninggal dunia akibat rempuhan di Festival Astroworld pada Jumaat.
6. COVID-19 | Kes harian di Rusia masih tinggi selepas 9 hari sekatan
Rakyat Rusia kembali ke pejabat pada Isnin selepas 9 hari sekatan sementara dikuat kuasakan. Namun pihak berkuasa tidak pasti sama ada sekatan tersebut berjaya menurunkan jumlah jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di negara itu.
7. Nuklear Iran | Iran letak syarat kepada Amerika Syarikat
Republik itu meletakkan tiga syarat kepada Amerika Syarikat sebelum mereka kembali ke meja rundingan yang dijangka hujung bulan ini. Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh tegaskan, ini susulan sikap Amerika yang berdolak dalih sebelum ini.
8. Vaksin COVID-19 | Jumlah dos didaftarkan seluruh dunia: 7.28 bilion
Dos vaksin COVID-19 yang didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga pagi Selasa melebihi 7.28 bilion. Menurut data Johns Hopkins University, China kini mendahului dengan lebih 2.33 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.
9. Nahas MH17 | Waris desak siasat penglibatan Rusia
Waris nahas pesawat Malaysia Airlines MH17, mendesak hakim yang terlibat dalam kes nahas berkenaan, melihat dakwaan penglibatan Rusia dalam insiden itu. Ini termasuk peranan Rusia dalam konflik di Ukraine, yang mungkin sebahagiannya mencetus serangan ke atas pesawat malang berkenaan.
10. COVID-19 | Kes positif seluruh dunia melepasi 250 juta
Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini melepasi 250 juta. Ini berikutan lebih tiga ratus ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
#MH17 #Sinopharm #COVID-19 #Malaysia Airlines #Nagaenthran #Sinovac #Covaxin #Travis Scott