Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN 25: Australia komited perkukuh hubungan ekonomi dengan ASEAN, kata PM Albanese

Amirul Aiman 28/10/2025 | 07:10 MYT
Albanese menyatakan bahawa tiga perempat bantuan pembangunan luar negara Australia disalurkan ke Asia Tenggara. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Australia komited untuk memperkukuh penglibatan ekonomi dengan ASEAN melalui pelaburan strategik dan kerjasama jangka panjang yang memacu pertumbuhan serantau, kata Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.


Ringkasan AI
  • Australia komited memperkukuh penglibatan ekonomi dengan ASEAN melalui pelaburan strategik dan kerjasama jangka panjang, termasuk peluang yang dikenal pasti dalam strategi serantau bertajuk *Invested* menjelang tahun 2040.
  • Perdana Menteri Anthony Albanese menyatakan bahawa tiga perempat bantuan pembangunan luar negara Australia disalurkan ke Asia Tenggara, dengan program bernilai AS$1.28 bilion bagi menyokong transformasi digital, tenaga bersih, dan perkhidmatan kesihatan.
  • Australia mengenal pasti potensi pelaburan bernilai A$20 bilion di Asia Tenggara, dengan perdagangan dua hala meningkat hampir A$6 bilion dan pelaburan Australia bertambah kira-kira A$2 bilion, mencerminkan hubungan ekonomi dan persahabatan yang semakin erat.


Beliau berkata, Australia berhasrat merebut peluang pelaburan serta perdagangan yang dikenal pasti di bawah strategi serantau tahun 2040 bertajuk Invested.

"Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, Australia tetap komited dan terus melabur dalam pertumbuhan serta kemakmuran Asia Tenggara," katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5.

Menurut beliau, tiga perempat daripada keseluruhan peruntukan bantuan pembangunan luar negara Australia disalurkan untuk manfaat rantau Asia Tenggara sebagai tanda kesungguhan memperkukuh hubungan dua hala.

“Program pembangunan bernilai AS$1.28 bilion di Asia Tenggara ini bertujuan membina daya tahan ekonomi, memanfaatkan peluang transformasi digital, menyokong tenaga yang lebih bersih dan mampu milik, serta melabur dalam perkhidmatan kesihatan yang lebih baik untuk negara-negara jiran kita,” katanya.

Albanese turut menegaskan bahawa hubungan erat antara Australia dan ASEAN tidak hanya berasaskan kepentingan ekonomi, tetapi juga kepercayaan mendalam serta persahabatan yang telah lama terjalin.

Pada Isnin, Australia telah mengenal pasti potensi pelaburan bernilai A$20 bilion di seluruh Asia Tenggara apabila Canberra melangkah ke fasa baharu dalam kerjasama ekonomi serantau dengan rantau ini.

Albanese berkata bahawa matlamat negara itu adalah untuk menjadi peserta aktif, rakan kongsi yang terlibat secara mendalam, serta pelabur yang benar-benar berakar umbi dalam pertumbuhan rantau ini.

Beliau menjelaskan bahawa komitmen yang diperkukuh ini didorong oleh kemajuan kukuh yang dicapai pada tahun lalu, di mana perdagangan dua hala mencapai paras tertinggi dalam sejarah, meningkat hampir A$6 bilion, manakala pelaburan Australia di Asia Tenggara meningkat kira-kira A$2 bilion.



#ASEAN Summit 2025 #ASEAN25 #Anthony Albanese #Australia