Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: ASEAN, New Zealand meterai Perjanjian Udara Serantau baharu

Seth Akmal 28/10/2025 | 05:30 MYT
Luxon berkata perjanjian itu melambangkan kemajuan pesat hubungan ekonomi dan perdagangan antara New Zealand dan ASEAN sejak hubungan dialog kedua-dua pihak dimulakan 50 tahun lalu. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkhidmatan Udara Serantau baharu dimeterai sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, berkata perjanjian itu melambangkan kemajuan pesat hubungan ekonomi dan perdagangan antara New Zealand dan ASEAN sejak hubungan dialog kedua-dua pihak dimulakan 50 tahun lalu.

“Hari ini, kita menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Udara Serantau baharu. Dalam erti lain, perdagangan kita dengan ASEAN kini mencapai jumlah yang sama dalam masa tiga hari seperti keseluruhan tahun 1975,” katanya.

Perjanjian tersebut dimuktamadkan hasil rundingan pada September 2023 dan dijangka memperkukuh sambungan udara antara ASEAN dan New Zealand, sekali gus merancakkan sektor perdagangan, pelancongan serta mobiliti rakyat di kedua-dua rantau.

Luxon turut menzahirkan penghargaan sempena ulang tahun ke-20 penyertaan New Zealand dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (Treaty of Amity and Cooperation) yang menandakan genap 30 tahun hubungan rasmi ASEAN-New Zealand.

“New Zealand memahami bahawa kemakmuran, keselamatan dan pertumbuhan masa depan kami amat berkait rapat dengan negara-negara anggota ASEAN. Kita berkongsi rantau yang sama dan tanggungjawab bersama dalam membentuk masa depannya,” katanya.

Menurut Luxon, ASEAN dan New Zealand kini mempunyai dua perjanjian perdagangan bebas serantau yang komprehensif (RCEP) dan AANZFTA dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$30 bilion setiap tahun.

Beliau menambah, kerjasama ASEAN-New Zealand turut merangkumi pelbagai bidang seperti pendidikan, pertanian, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.

“Kerjasama ini menjadikan kita lebih makmur dan lebih selamat dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, Luxon turut mengucapkan tahniah kepada Timor-Leste atas penyertaannya sebagai negara anggota penuh ASEAN yang ke-11.

“New Zealand telah lama menyokong aspirasi Timor-Leste, dan kami mengucapkan tahniah atas penyertaan rasmi negara itu dalam keluarga ASEAN,” katanya.

Media turut menyaksikan sebuah persembahan tarian budaya tradisional New Zealand sejurus selepas persidangan tersebut selesai.




#ASEAN Summit 2025 #ASEAN25 #New Zealand #Christopher Luxon