Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: Gusmao sebak, terharu Timor-Leste akhirnya rasmi sertai ASEAN

Faida Rahim 26/10/2025 | 10:38 MYT
Gusmao kelihatan sebak selepas menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Detik bersejarah dicatat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini apabila Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, kelihatan sebak dan terharu selepas menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota rasmi ke-11 ASEAN.


Ringkasan AI
  • Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ke-11 ASEAN, disifatkan oleh Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao sebagai langkah bersejarah yang mencerminkan komitmen terhadap kerjasama serantau, tadbir urus baik dan hubungan aman.
  • Gusmao menegaskan penyertaan itu sebagai tindakan solidariti serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global, serta komitmen Timor-Leste untuk memperkukuh peranan pusat ASEAN dan pembangunan mampan.
  • Penyertaan dimeterai melalui penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, disaksikan pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.


Dalam suasana meriah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Gusmao dilihat mengesat air mata dengan tisu sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN tahun ini.

Bercakap pada sidang media selepas majlis berkenaan, Gusmao menyifatkan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai satu langkah bersejarah yang mencerminkan komitmen mendalam negaranya terhadap kerjasama serantau, tadbir urus yang baik dan hubungan aman antara negara.

“Penyertaan ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu tanggungjawab besar yang kami pikul dengan penuh kesungguhan. Kami bertekad menyumbang secara aktif kepada matlamat bersama ASEAN dalam mencapai kestabilan, kemakmuran dan keterangkuman,” katanya.

Gusmao turut mengimbau perjalanan panjang sejak permohonan rasmi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN pada 2011, yang disusuli dengan usaha memperkukuh institusi dan dasar negara agar selari dengan nilai-nilai asas ASEAN seperti saling menghormati dan perpaduan dalam kepelbagaian.

Beliau menyifatkan penyertaan Timor-Leste sebagai manifestasi solidariti serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global, sambil menegaskan komitmen negaranya untuk memperkukuh peranan pusat ASEAN, memajukan pembangunan mampan dan memastikan kemajuan serantau yang inklusif.

“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Timor-Leste, saya merakamkan penghargaan tulus kepada semua negara anggota dan rakan ASEAN atas sokongan dan persahabatan yang berterusan,” katanya.

Gusmao turut menzahirkan harapan agar Asia Tenggara terus dibina sebagai sebuah komuniti yang aman, saling berhubung dan berdaya tahan, bersatu dalam matlamat bersama demi masa depan yang lebih cerah.

Penyertaan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dimeterai dengan penandatanganan deklarasi berkenaan, disaksikan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN termasuk Anwar, menandakan satu pencapaian penting bukan sahaja bagi negara muda itu, tetapi juga bagi blok serantau yang semakin berkembang.







#Rala Xanana Gusmao #ASEAN #ASEAN Summit 2025 #Timor-Leste