Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: Kerana diplomasi, Malaysia berjaya himpun kuasa dunia di pentas ASEAN - Anwar

Firdaus Azil 28/10/2025 | 10:04 MYT
Anwar berkata, Malaysia dianggap berjaya kerana dapat memastikan hampir kesemua kuasa besar dunia itu untuk bersama-sama mengadakan libat urus, walaupun ada antara mereka yang terbelenggu dengan konflik geopolitik. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia terus berpegang kepada hikmah diplomasi, sekali gus membolehkannya menjemput kuasa-kuasa besar dunia untuk bersama-sama menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.


Ringkasan AI
  • Malaysia berjaya menjemput kuasa-kuasa besar dunia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 melalui pendekatan diplomasi berhemah, termasuk kehadiran Presiden AS Donald Trump dan pemimpin China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia serta Rusia.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hubungan dengan pelbagai negara seperti AS, China, EU, Brazil dan Afrika Selatan adalah demi kepentingan ekonomi, pelaburan dan manfaat kepada rakyat, meskipun berdepan kritikan geopolitik.
  • Malaysia mengetuai pelbagai sidang berprofil tinggi termasuk ASEANAS, ASEANChina, ASEAN Plus Three dan Sidang Kemuncak Asia Timur, namun isu seperti krisis Myanmar dan ketegangan ThailandKemboja kekal sebagai cabaran serantau yang perlu ditangani.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN 2025 mengakui, terdapat kritikan yang dilontarkan, seperti mengapa terlampau condong ke China, atau menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk hadir, biarpun konflik Palestin tidak selesai sepenuhnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, ia adalah kejayaan terbesar Malaysia kerana dapat memastikan hampir kesemua kuasa besar dunia itu untuk bersama-sama mengadakan libat urus, walaupun ada antara mereka yang terbelenggu dengan konflik geopolitik.

“Kenapa berpihak pada negara China?... tapi kita jemput dan baik dengan Amerika Syarikat... ada pula yang kritik kenapa terlalu sambut dengan AS?... tapi kita juga baik dengan Brazil dan Afrika Selatan yang tak disenangi negara barat.

“Kenapa kita dengan Kesatuan Eropah (EU)?... kerana perdagangan dan pelaburan negara itu penting... dan bagi saya keputusan itu menjaga imej negara, menjaga kepentingan negara, ekonominya, pelaburannya, dan yang lebih penting membawa manfaat kepada rakyat

“Baik dengan negara (terbabit)... berdagang datang ke sini sebagai pelancong perdagangan... pelabur... (bawa) manfaat kepada rakyat. Itu sebab kita teruskan dengan sidang ini dan lain termasuk wakil Tabung Kewangan Sedunia, Bank Dunia, dan beberapa badan penyelidikan dunia terkenal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Malaysia secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan berakhirnya tempoh setahun negara ini mengetuai blok serantau itu dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Dalam edisi sidang kemuncak kali ini, Malausia telah memimpin pelbagai mesyuarat berprofil tinggi termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–AS, yang menyaksikan kehadiran Trump, dan mengadakan perbincangan mengenai tarif serta kerjasama perdagangan.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–China, Perdana Menteri Li Qiang menegaskan komitmen terhadap perdagangan bebas dan pembangunan infrastruktur serantau.

Malaysia juga mengetuai ASEAN Plus One Summits dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan Rusia, serta ASEAN Plus Three (APT) bersama China, Jepun dan Korea Selatan, yang menumpukan kepada integrasi ekonomi dan keselamatan makanan.

Selaini itu, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Asia Timur, Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dan Mesyuarat Pemimpin AZEC (Asia Zero Emission Community) yang menekankan kerjasama tenaga hijau dan kelestarian.

Walaupun banyak pencapaian diraih, isu seperti krisis Myanmar, ketegangan sempadan Thailand–Kemboja, dan ketidakseimbangan dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat kekal sebagai cabaran yang rumit, dan perlu diberi perhatian mendalam.


#ASEAN Summit 2025 #Anwar Ibrahim #diplomasi Malaysia #kuasa besar dunia