Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: Malaysia, ASEAN sambut baik pelan komprehensif Trump untuk keamanan Gaza - Anwar

Firdaus Azil 26/10/2025 | 07:28 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN berkata, pelan itu membuka ruang dan harapan untuk dunia menyaksikan penyelesaian konflik yang paling rumit. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN menyambut baik Pelan Komprehensif 20 Perkara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memastikan wilayah Gaza yang ditindas oleh Rejim Zionis Israel, dapat mencapai keamanan yang berkekalan.


Ringkasan AI
  • ASEAN menyambut baik Pelan Komprehensif 20 Perkara oleh Presiden Donald Trump untuk keamanan berkekalan di Gaza, yang disifatkan membuka ruang penyelesaian konflik paling rumit melalui diplomasi dan keazaman.
  • Anwar menekankan potensi besar hubungan ASEAN-AS ke arah perkongsian strategik, dengan perdagangan dua hala mencecah US$453 bilion tahun lalu, dan kenyataan bersama akan diterima pakai untuk memperkukuh kerjasama.
  • Perdana Menteri turut menghargai peranan Amerika Syarikat dalam memudahkan pemeteraian Perjanjian KL antara Kemboja dan Thailand, susulan konflik sempadan yang memuncak pada 2025, termasuk penubuhan Pasukan Pemerhati Sempadan ASEAN.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN berkata, pelan itu membuka ruang dan harapan untuk dunia menyaksikan penyelesaian konflik yang paling rumit.

“Mengenai Gaza, kami menyambut baik pelan komprehensif anda untuk menamatkan konflik Gaza. Ini memberikan dunia secercah harapan, walaupun dalam konflik paling rumit.

“Diplomasi dan keazaman akhirnya akan menang. Dan kami percaya, dengan kepimpinan anda, Presiden (Donald Trump), kita akan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13, yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, pada Ahad.

Mengenai hubungan ASEAN-AS, Anwar berkata, kedua-dua pihak akan memperkukuh hubungan itu ke arah perkongsian komprehensif dan strategik.

“Ekonomi Amerika Syarikat yang rancak dan luar biasa, bersama ASEAN yang dinamik, mempunyai potensi besar untuk mencipta zaman kegemilangan baharu buat semua negara kita. Perdagangan dua hala telah mencapai rekod US$453 bilion tahun lalu, menyokong pekerjaan dan perniagaan di seluruh Amerika Syarikat dan ASEAN.

“Hari ini, kita akan menjadikan janji hubungan ini lebih bermakna. Kita akan menerima pakai Kenyataan Bersama ASEAN-AS untuk mempromosikan ASEAN dan Amerika yang lebih kukuh, selamat dan makmur,” katanya.

Anwar berkata, kenyataan bersama itu mencerminkan hasrat dan komitmen kedua-dua pihak untuk menterjemah kerjasama kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada ASEAN dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai peranan Amerika Syarikat dalam pemeteraian Perjanjian KL antara Kemboja dan Thailand, yang dicapai awal hari ini.

“Ini sudah pasti satu pencapaian yang mencerminkan keazaman politik kedua-dua negara, pemimpin dan rakyatnya. Tuan Presiden, ASEAN amat menghargai peranan penting anda dalam memudahkan perjanjian ini,” katanya lagi.

Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak pada 2025, berpunca daripada pertikaian berpanjangan berhubung kawasan sekitar Kuil Preah Vihear dan beberapa tapak warisan lain di sempadan Pergunungan Dângrêk.

Media turut melaporkan kebocoran rakaman telefon antara bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang mencetuskan krisis politik dalaman di Bangkok, menyebabkan Paetongtarn dilucutkan jawatan.

Bagaimanapun Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dipengerusikan Malaysia menjadi titik tolak kepada pemuktamadan perjanjian damai, termasuk penarikan senjata berat dan penubuhan Pasukan Pemerhati Sempadan ASEAN.

#ASEAN Summit 2025 #Donald Trump #ASEAN25 #Anwar Ibrahim