Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: MoU Malaysia, Timor-Leste bukti hubungan dua hala kukuh

Pia Ernadya 28/10/2025 | 09:10 MYT
Freitas (kiri) ketika sidang media bersama Ahmad Zahid hari ini. - Gambar/ KKDW
KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Malaysia hari ini mencerminkan bukti kerjasama dan hubungan dua hala yang sebenar.

Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito Dos Santos Freitas menyifatkan MoU tersebut mampu membawa perubahan yang penting dalam bidang pembangunan luar bandar di negaranya.

"Ini adalah bukti kerjasama sebenar dan hubungan dua hala kita yang menjadi kenyataan, dan kami menjangkakan dengan MoU ini dapat membawa pertukaran yang lebih rapat antara Malaysia dan Timor-Leste dalam bidang pembangunan luar bandar.

"Terutamanya dalam pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti pengetahuan, serta pendigitalan yang dapat membantu rakyat kami di Timor-Leste, khususnya di kawasan luar bandar," beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani MoU antara Malaysia-Timor-Leste di ibu negara pada Selasa.

Tambahnya, pihaknya turut mengambil peluang ini dan memanfaatkan pengalaman Malaysia bagi membangunkan kerjasama demi manfaat rakyat Timor-Leste.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memeterai satu MoU Berkaitan Kerjasama Dalam Bidang Pembangunan Luar Bandar dengan Timor-Leste .

Pemeteraian MoU pertama di peringkat antarabangsa ini mencerminkan langkah signifikan KKDW dalam memperkukuh jalinan strategik kementerian di peringkat global.

Kerajaan Malaysia diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi manakala Timor-Leste diwakili oleh Freitas.

MoU ini juga sebagai tanda simbolik KKDW mengalu-alukan keanggotaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN pada 26 Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.




#ASEAN Summit 2025 #Timor-Leste #Bendito dos Santos Freitas #KKDW