Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: Penyertaan Timor-Leste satu kemenangan bersejarah - Freitas

Faida Rahim 25/10/2025 | 07:22 MYT
Freitas bercakap kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, di sini hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN merupakan satu kemenangan bukan sahaja buat rakyat negara itu, malah bagi seluruh keluarga besar ASEAN, kata Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas.


Ringkasan AI
  • Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
  • Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas menyifatkan keanggotaan penuh itu sebagai kemenangan buat rakyat Timor-Leste dan seluruh keluarga ASEAN, hasil perjuangan panjang negara tersebut untuk kemerdekaan dan integrasi serantau.
  • Keanggotaan ini memberi Timor-Leste suara lebih kukuh dalam bidang politik, diplomasi dan hal ehwal luar, serta melambangkan penyertaan aktif negara itu dalam identiti dan perpaduan ASEAN yang semakin utuh.


Beliau berkata pencapaian bersejarah itu mencerminkan kemuncak perjuangan negara tersebut selama beberapa dekad untuk mencapai kemerdekaan serta komitmennya terhadap perpaduan serantau.

“Ini adalah detik bersejarah buat kami, buat Timor-Leste. Kami akhirnya menyertai ASEAN, dan esok pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, kami akan menjadi sebahagian daripada keluarga ini.

“Ini adalah kemenangan buat kami, buat rakyat kami, dan juga buat keluarga ASEAN. Kami berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan dalam ASEAN yang telah banyak menyumbang kepada perjalanan kami.

“Keanggotaan ini memberikan kami suara yang lebih kukuh dalam bidang politik, diplomasi dan hal ehwal luar,” katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, di sini hari ini.

Freitas berkata penyertaan Timor-Leste melambangkan integrasi negara itu ke dalam identiti serantau yang dikongsi bersama.

“Kita semakin bersatu sebagai satu rantau, sebagai satu keluarga ASEAN. Bagi rakyat Timor-Leste, detik ini amat bermakna. Ia bukan satu pemberian, tetapi hasil daripada perjalanan panjang untuk mencapai apa yang kita kecapi hari ini,” katanya.

Hari ini, Timor-Leste secara rasmi menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai negara anggota ke-11 ASEAN.



#ASEAN Summit 2025 #negara asean #Timor-Leste #Bendito dos Santos Freitas