Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: RTM mohon maaf kesilapan nama Presiden Indonesia

Bernama 26/10/2025 | 06:34 MYT
Radio Televisyen Malaysia (RTM) memandang serius perkara tersebut dan tindakan sewajarnya telah diambil. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf ke atas kesilapan pengulas yang silap menyebut nama Presiden Indonesia ketika siaran langsung majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengulas RTM yang menyebut nama Presiden Indonesia sebagai Joko Widodo dalam siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sedangkan Presiden semasa ialah Prabowo Subianto.
  • RTM memandang serius insiden tersebut dan telah mengambil tindakan sewajarnya, serta memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia serta semua pihak yang terkesan.
  • RTM akan meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan ketepatan dan integriti maklumat dalam siaran akan datang; majlis turut dihadiri pemimpin ASEAN dan wakil antarabangsa termasuk Antonio Guterres dan Mark Carney.


Jabatan tersebut dalam satu kenyataan berkata, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memandang serius perkara tersebut dan tindakan sewajarnya telah diambil.

"Berdasarkan siasatan dalaman, terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang telah menyebut nama Presiden Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden sekarang ialah Prabowo Subianto.

"RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini," menurut kenyataan itu.


Jabatan itu berkata, RTM juga akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta dalam ketepatan dan integriti dalam setiap maklumat yang disampaikan.

Majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, dihadiri oleh semua pemimpin ASEAN, termasuk Prabowo.

Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, serta Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik Carlos Felipe Jaramillo.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, "Keterangkuman dan Kemampanan."

-- BERNAMA






#ASEAN Summit 2025 #Presiden Indonesia #Jokowi #Prabowo Subianto #kesilapan nama