Berita Terkini ASEAN25: Thailand minta AS beri sokongan lebih kukuh bagi dagangan, pengurangan tarif

Trump dan Anutin bertukar dokumen pada majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, 26 Okt 2025. (Foto AP)
BANGKOK: Thailand telah meminta Amerika Syarikat (AS) memberi sokongan lebih kukuh dalam aspek kerjasama perdagangan, terutama berkaitan isu tarif, kata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, semalam.
Jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat berkata Anutin telah menyatakan permintaan itu dalam pertemuan beliau dengan Presiden AS Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.
Dalam perbincangan itu, Anutin turut meminta Trump agar mempertimbangkan pengurangan lanjut bagi kadar tarif yang dikenakan ke atas barangan keluaran Thailand.
"Thailand telah bekerjasama rapat dengan AS dalam pelbagai bidang. Oleh itu, saya (Anutin) telah meminta Presiden Trump untuk mempertimbangkan pengurangan tambahan bagi kadar tarif," kata Siripong yang memetik kenyataan pemimpin Thailand itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Beliau berkata kedua-dua pihak juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan berkaitan perkara berkenaan.
Susulan mesyuarat terbaharu itu, Siripong berkata Anutin juga telah mengarahkan Kementerian Perdagangan dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk meneruskan rundingan dengan pihak Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR).
Untuk rekod, dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Rumah Putih pada 31 Julai 2025, Thailand serta empat negara anggota ASEAN lain - Malaysia, Kemboja, Filipina dan Indonesia dikenakan tarif seragam sebanyak 19 peratus berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Kadar itu menggantikan tarif 36 peratus yang diumumkan pada April lepas, sekali gus menyelaraskan kadar tarif Thailand dengan yang diterima oleh ekonomi serantau lain.
AS merupakan pasaran eksport terbesar Thailand pada tahun lepas yang merangkumi lebih 18 peratus daripada jumlah eksport negara dengan nilai AS$54.96 bilion (AS$1 = RM4.22).
Barangan eksport utama Thailand ke AS pada 2024 termasuk komputer, set telefon dan produk-produk getah manakala import utama dari AS adalah minyak mentah, jentera dan alat ganti serta bahan kimia.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

