Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: Thailand setuju hantar pemerhati pilihan raya ke Myanmar

Faida Rahim 25/10/2025 | 10:23 MYT
Thailand berpandangan proses pilihan raya hanyalah sebahagian daripada pelan damai yang lebih besar. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Thailand menyokong cadangan supaya anggota negara ASEAN menghantar pemerhati bagi memantau pelaksanaan pilihan raya di Myanmar bagi memastikan proses tersebut dijalankan dengan telus, inklusif dan selamat.


Ringkasan AI
  • Thailand menyokong cadangan agar negara anggota ASEAN menghantar pemerhati ke Myanmar bagi memastikan pilihan raya umum pada 28 Disember dijalankan secara telus, inklusif dan selamat. Jurucakap Kementerian Luar, Nikorndej Balankura menegaskan kehadiran pemerhati tidak bermaksud pengiktirafan terhadap keputusan pilihan raya.
  • Pendekatan ini dilihat sebagai sebahagian daripada proses damai yang mampan dan usaha ASEAN untuk berinteraksi secara langsung dengan Myanmar. Thailand turut menyokong cadangan melanjutkan pelantikan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar bagi memastikan kesinambungan penglibatan serantau.
  • Thailand berpandangan bahawa pilihan raya hanyalah sebahagian daripada pelan damai yang lebih besar, dan ASEAN perlu terus memainkan peranan konstruktif dalam membantu Myanmar mencapai keamanan berkekalan.


Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, pendirian itu selaras dengan usaha rantau ini untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam membantu Myanmar mencapai keamanan yang berkekalan.

“Kami melihatnya sebagai sebahagian daripada proses damai yang mampan dan keputusan dalaman kerajaan Myanmar.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, Menteri Luar kami telah membincangkan bersama rakan-rakan ASEAN mengenai keperluan untuk berinteraksi secara langsung dengan Myanmar termasuk kemungkinan menghantar pemerhati daripada negara-negara ASEAN,” katanya pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini hari ini.

Nikorndej berkata, kehadiran pemerhati tidak membawa maksud pengiktirafan terhadap keputusan pilihan raya, sebaliknya bertujuan menjamin ketelusan serta keselamatan proses pengundian.

"Memerhati tidak bermaksud mengiktiraf... pemerhati akan berada di Myanmar untuk memastikan pilihan raya berlangsung secara adil dan inklusif dan bukan memberi pengiktirafan kepada hasil pilihan raya itu," katanya.

Mengulas lanjut penyertaan Myanmar dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN selepas pilihan raya, beliau berkata, Thailand berpandangan proses pilihan raya hanyalah sebahagian daripada pelan damai yang lebih besar.

“Thailand menyokong cadangan melanjutkan tempoh pelantikan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar bagi memastikan kesinambungan dan penglibatan berterusan dalam proses damai negara tersebut.

“Cadangan ini masih dibincangkan dan belum dimuktamadkan, namun mendapat sokongan umum dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.




#ASEAN Summit 2025 #negara asean #Thailand #isu Myanmar