Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: Timor-Leste angkat diplomasi budaya sebagai jambatan persahabatan - PM Xanana Gusmao

Pia Ernadya 27/10/2025 | 06:39 MYT
PM Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao pada sidang media berikutan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dilihat sebagai peluang memperkukuh hubungan serantau melalui perkongsian budaya, muzik, tarian dan sejarah masyarakat yang menjadi identiti negara itu, jelas Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao.

Gusmao turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta semua negara anggota ASEAN atas sokongan terhadap penerimaan rasmi negara tersebut dalam blok berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Timor-Leste, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta semua negara anggota ASEAN kerana menerima kami dalam keluarga besar ini, dan kepada semua tetamu kehormat yang hadir memeriahkan sambutan istimewa ini,” katanya.

Beliau menegaskan persahabatan sejati lebih bermakna apabila dikongsi melalui warisan budaya Timor-Leste.

“Kami percaya persahabatan sejati dikongsi melalui budaya kami, melalui muzik, tarian serta kisah rakyat dan tanah kami.

"Pada kesempatan ini, kami berbesar hati berkongsi secebis keindahan dan semangat Timor-Leste menerusi persembahan tradisional. Ini cara kami mengucapkan terima kasih dan selamat datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Reception on the Occasion of Timor-Leste’s Admission to ASEAN di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di ibu negara, pada Isnin.

Dalam pada itu, Gusmao secara berseloroh mengajak tetamu kehormat berkunjung ke Timor-Leste bagi merasai sendiri keunikan rakyat dan budaya negara itu.

“Tutup mulut (anda), buka mata dan telinga. Nikmati momen ini bersama kami sebagai sahabat dan keluarga dalam semangat kehangatan serta kegembiraan yang menjadi cara sambutan rakyat Timor-Leste.

“Sebelum saya tamatkan ucapan, saya menjemput semua tetamu kehormat untuk mengikuti saya dalam perjalanan singkat ke Timor-Leste. Tidak perlu bayar apa-apa,” ujarnya.

Sabtu lalu, Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ASEAN ke-11 selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Gusmao menyifatkan bahawa penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai satu langkah bersejarah yang mencerminkan komitmen mendalam negaranya terhadap kerjasama serantau, tadbir urus yang baik dan hubungan aman antara negara.

“Penyertaan ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu tanggungjawab besar yang kami pikul dengan penuh kesungguhan. Kami bertekad menyumbang secara aktif kepada matlamat bersama ASEAN dalam mencapai kestabilan, kemakmuran dan keterangkuman,” katanya.

Beliau menyifatkan penyertaan Timor-Leste sebagai manifestasi solidariti serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global, sambil menegaskan komitmen negaranya untuk memperkukuh peranan pusat ASEAN, memajukan pembangunan mampan dan memastikan kemajuan serantau yang inklusif.

“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Timor-Leste, saya merakamkan penghargaan tulus kepada semua negara anggota dan rakan ASEAN atas sokongan dan persahabatan yang berterusan,” katanya.

Gusmao turut menzahirkan harapan agar Asia Tenggara terus dibina sebagai sebuah komuniti yang aman, saling berhubung dan berdaya tahan, bersatu dalam matlamat bersama demi masa depan yang lebih cerah.

Penyertaan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dimeterai dengan penandatanganan deklarasi berkenaan, disaksikan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN termasuk Anwar, menandakan satu pencapaian penting bukan sahaja bagi negara muda itu, tetapi juga bagi blok serantau yang semakin berkembang.









#Timor-Leste #Xanana Gusmao #Berita Terkini ASEAN25 #Timor-Leste sebagai ahli ASEAN ke-11 #Anwar Ibrahim #Donald Trump