Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Berita Terkini ASEAN25: Timor-Leste mahu belajar, berkongsi perkukuh negara - Gusmao

Faida Rahim 26/10/2025 | 10:55 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan dokumen Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn (kanan), sambil disaksikan Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta (kiri) dan Gusmao. - Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao menegaskan bahawa penyertaan negaranya sebagai anggota penuh ASEAN adalah langkah penting untuk memperkukuh pembinaan negara, memperluas pengalaman dan menyertai suara diplomatik serantau dalam menangani pelbagai isu global.


Ringkasan AI
  • Xanana Gusmao menegaskan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN adalah langkah penting untuk memperkukuh pembinaan negara, memperluas pengalaman dan menyertai suara diplomatik serantau dalam menangani isu global.
  • Beliau menyatakan harapan agar penyertaan ini membolehkan suara rakyat Timor-Leste didengari di peringkat antarabangsa, serta mengakui kebergantungan negara kepada Dana Petroleum sebagai sumber pembangunan utama.
  • Gusmao turut berkongsi pengalaman Timor-Leste sebagai anggota g7 dalam membantu negara pascakonflik memulakan proses demokrasi, dan menekankan keperluan mengurus Dana Petroleum secara bijak demi masa depan negara.


Gusmao berkata, pihaknya berharap dapat memperoleh pengalaman daripada rakan anggota ASEAN yang lain.

“Kami di sini untuk belajar, memperoleh pengalaman dan membantu kami bersedia membina negara. Dari segi diplomatik, kami menyertai suara komuniti negara yang dihormati dalam pelbagai isu dunia,” katanya.

Gusmao berkata dalam sidang media berkaitan perkembangan serta status penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, hari ini.

Tambah Gusmao, penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN membolehkan harapan, kebimbangan dan kegembiraan rakyatnya didengari dan dirasai di peringkat antarabangsa, berbanding jika bersuara secara bersendirian.

Gusmao turut mengakui bahawa Timor-Leste sangat bergantung kepada hasil minyak, namun bersyukur kerana negara itu memiliki Dana Petroleum yang menjadi sumber penting dalam pembangunan negara.

Gusmao menjelaskan bahawa Timor-Leste juga merupakan anggota organisasi G7 Plus (g7+) yang ditubuhkan pada 2010 bersama sembilan negara Afrika bagi menyokong negara-negara rapuh yang berdepan konflik, ketiadaan sistem pemerintahan, demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Gusmao turut berkongsi pengalaman Timor-Leste dalam membantu negara-negara pascakonflik menjalankan pilihan raya demokratik buat pertama kali, walaupun ada yang telah merdeka lebih 40 tahun.

“Kami tidak mengajar, tetapi berkongsi pengalaman menyelesaikan konflik dan membantu mereka memulakan proses demokrasi,” katanya.

Selain itu, Gusmao menegaskan bahawa Dana Petroleum yang dimiliki Timor-Leste perlu diurus dengan bijak dan dikembangkan secara strategik demi masa depan negara.


#ASEAN Summit 2025 #Timor-Leste #Anwar Ibrahim #Kay Rala Xanana Gusmao