Susulan dakwaan wartawan Bernama memplagiat berita pemilihan presiden Indonesia yang disiarkan akhbar Jakarta Globe.

Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkefli Salleh berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan yang dibuat akhbar Indonesia itu.

Zulkefli berkata agensi berita Malaysia itu memberi perhatian serius terhadap dakwaan itu kerana Bernama memang melarang perbuatan memplagiat dalam penulisan oleh wartawannya.

Beliau berkata dalam dunia kewartawanan, setiap wartawan sewajibnya mengetahui dan faham bahawa perbuatan memplagiat dalam penulisan berita merupakan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

"Buat waktu ini, wartawan berkenaan digantung tugas sementara siasatan dalaman dijalankan," kata Zulkefli hari ini.

"Tindakan tegas disiplin akan diambil oleh Bernama sekiranya wartawan itu didapati bersalah," tambahnya.

Akhbar Jakarta Globe mendedahkan agensi berita nasional itu memuat naik dua artikel "ayat demi ayat" dan memadam nama penulis asalnya.

Dua artikel, yang diterbitkan pada 1 dan 5 Julai dengan tajuk artikel asal "Hatta Says Indonesia Should Take Advantage of its Demographic Bonus", dan “In Closing Debate, Joko Promises Bureaucratic Breakthrough, While Prabowo Strives for A Dignified Nation”.

Kedua-dua artikel berkenaan, kata Jakarta Globe ditukar tajuk oleh Bernama kepada, "Indonesia Should Take Advantage of its Demographic Bonus — Hatta", dan "Joko Promises Bureaucratic Breakthrough, while Prabowo Strives for a Dignified Nation".

Hasil tinjauan Astro AWANI, sehingga artikel ini diterbitkan, kedua-dua artikel terbabit masih boleh dilayari di Bernama.com