WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menggesa rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin supaya meredakan ketegangan dengan Ukraine menerusi panggilan telefon pada Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan White House.

Jurucakap White House Jen Psaki mengeluarkan kenyataan berhubung perbualan telefon kedua antara kedua-dua pemimpin pada bulan ini, yang berlangsung selama 50 minit.

Biden "menjelaskan bahawa AS dan sekutu dan rakan kongsinya akan bertindak balas dengan tegas jika Rusia terus menyerang Ukraine," kata Psaki.

"Presiden Biden juga menyatakan sokongan terhadap langkah diplomasi, dijadual bermula awal tahun depan dengan Dialog Kestabilan Strategik dua hala, di Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melalui Majlis NATO-Rusia, dan di Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah.

"Presiden Biden mengulangi pendirian bahawa kemajuan substantif dalam sesi dialog ini boleh berlaku hanya dalam persekitaran aman dan bukan ketegangan," tambahnya.

Terbaharu, Rusia menempatkan puluhan ribu tenteranya berhampiran sempadan Ukraine.

Tindakan itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu NATO bahawa Moscow mungkin merancang satu lagi serangan tentera terhadap bekas jirannya dalam kesatuan Soviet.

AS dan sekutu Eropahnya menuduh Rusia cuba menggugat kestabilan negara dengan memberikan sokongan ketenteraan kepada puak pemisah di wilayah timur Ukraine.

Perbualan telefon pertama antara kedua-dua pemimpin diadakan pada 7 Dis.

-- BERNAMA