KUALA LUMPUR : Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tiba di Tel Aviv pada Rabu bagi mengadakan pertemuan dengan pimpinan Israel sempena lawatan beliau ke Asia Barat.

Ketibaan Biden juga beberapa jam selepas rejim zionis melancarkan serangan terhadap sebuah hospital di Gaza yang sedang menempatkan ratusan mangsa warga Palestin sekali gus meragut ratusan nyawa termasuk kanak-kanak.

Ketibaan Biden disambut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang memberi bayangan bahawa Israel mendapat sokongan penuh oleh negara berkuasa veto itu meskipun telah telah melakukan keganasan di Gaza.

Pemimpin negara Uncle Sam itu sepatutnya dijadual meneruskan lawatan ke Jordan bagi pertemuan dengan beberapa pemimpin Arab.

Bagaimanapun pertemuan itu terpaksa dibatalkan berikutan serangan rejim zionis terhadap hospital di Gaza.

Setakat ini, serangan peluru berpandu terhadap hospital di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 500 nyawa orang awam melibatkan Hospital Al-Ahli Arab.

Serangan Israel yang menyasarkan hospital di Gaza turut menerima kecaman negara-negara Arab antaranya Jordan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Iraq yang mengeluarkan kenyataan keras mengutuk serangan berkenaan.

Konflik peperangan yang masih melanda Gaza menyaksikan ketenteraan Israel dengan bantuan Amerika Syarikat sentiasa bersiap sedia di setiap sempadan Gaza untuk melancarkan serangan berikutnya.