DUNIA

Bilangan buruh kanak-kanak menurun lebih 100 juta - ILO

Bernama 16/07/2025 | 20:30 MYT
Menurut Laporan Matlamat Pembangunan Mampan 2025 yang diterbitkan pada Isnin, sekitar 138 juta kanak-kanak terlibat dalam buruh kanak-kanak pada 2024, termasuk 54 juta dalam kerja berbahaya. - Gambar hiasan
GENEVA: Bilangan kanak-kanak yang terlibat dalam buruh kanak-kanak telah menurun lebih 100 juta sejak 2000, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada Rabu, memetik data baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di sebalik kemajuan itu, matlamat global untuk menghapuskan buruh kanak-kanak menjelang 2025 masih dianggap "di luar jangkauan," kata ILO menerusi platform X, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Pekerjaan yang bermaruah untuk semua kini menjadi lebih mendesak berbanding sebelum ini berikutan ketidaktentuan ekonomi global," tambah kenyataan itu.

Menurut Laporan Matlamat Pembangunan Mampan 2025 yang diterbitkan pada Isnin, sekitar 138 juta kanak-kanak terlibat dalam buruh kanak-kanak pada 2024, termasuk 54 juta dalam kerja berbahaya yang mengancam kesihatan dan perkembangan mereka.

Angka itu menunjukkan penurunan lebih 20 juta sejak 2020 dan lebih 100 juta sejak 2000 -- meskipun populasi kanak-kanak global telah meningkat sebanyak 230 juta dalam tempoh sama.

Laporan itu turut menyatakan bahawa walaupun dunia telah kembali ke landasan kemajuan selepas kemunduran akibat pandemik COVID-19, namun usaha yang dilakukan masih belum mencukupi.

-- BERNAMA



#buruh kanak-kanak #PBB #ILO #Kanak-kanak