Bintang NBA LeBron James umum sokong Hillary Clinton

Astro Awani
Oktober 3, 2016 23:52 MYT
LeBron James merupakan pemain pasukan Cleveland Cavaliers - Foto AFP
BINTANG bola keranjang LeBron James mengumumkan sokongan terhadap Hillary Clinton dalam kempen pemilihan presiden calon Demokrat itu.
Dalam suratnya kepada Akron Business Journal, James menyifatkan Clinton sebagai satu-satunya calon yang ‘memahami kesukaran hidup golongan yang tidak bernasib baik’ di Amerika.
“Apabila saya melihat pemilihan presiden tahun ini, jelas sekali calon mana yang percaya pada perkara yang sama (dengan saya).
"Hanya ada seorang sahaja yang faham kesukaran warga Akron yang lahir sebagai orang miskin,” jelas James yang menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu kanak-kanak miskin di kampung halamannya, Akron.
Bagi James, Clinton calon tepat untuk memperjuangkan peningkatan mutu sekolah dan kemudahan kesihatan bagi golongan berpendapatan rendah.
“Apabila saya fikir tentang dasar dan idea yang diperlukan oleh kanak-kanak yang bernaung di bawah yayasan saya, pilihannya jelas.
“Calon itu Hillary Clinton.”
Selain James, Clinton juga telah menerima sokongan terbuka beberapa selebriti Amerika Syarikat seperti Katy Perry, Bruce Springsteen, dan George Clooney.
#AS memilih #Hillary Clinton #LeBron James #NBA