BJ Habibie masuk hospital kali kedua dalam seminggu

Astro Awani
Oktober 25, 2014 12:03 MYT
Ini adalah kali kedua Habibie dimasukkan ke hospital dalam masa seminggu. - Gambar Fail
Bekas presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie yang sedang menjalani rawatan di Hospital Pusat Angkatan Tentera Darat Gatot Subroto di Jakarta sejak Jumaat malam dilaporkan berada dalam keadaan stabil, lapor Kompas.com.
Ini adalah kali kedua Habibie, 78, dimasukkan ke hospital dalam masa seminggu.
Hanya tiga hari sebelumnya iaitu pada Isnin malam, beliau dirawat di sebuah hospital di Bandung kerana keletihan.
Habibie sebelum itu pada Isnin menghadiri majlis pelantikan dan angkat sumpah Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia yang ketujuh bersama naib presidennya, Jusuf Kalla.
FOTO-FOTO SEKITAR PELANTIKAN JOKO WIDODO
Habibie adalah presiden republik itu yang ketiga. Beliau menggantikan Suharto yang letak jawatan selepas mentadbir selama lebih tiga dekad susulan protes rakyat pada Mei 1998.
Menurut setiausaha peribadi Habibie, Rubijanto yang dipetik oleh Kompas.com, pemeriksaan doktor pada awal minggu ini menunjukkan bekas presiden itu tidak mengalami sebarang sakit yang serius.
Menurut laporan portal berita itu lagi, Habibie pada Jumaat malam diziarahi oleh Naib Presiden Indonesia yang baru dilantik, Jusuf Kalla.
Pada Sabtu, beliau terus menerima kunjungan beberapa orang pelawat khususnya pemimpin politik termasuk Ketua Golkar, Aburizal Bakrie.

Menjenguk Presiden ke-3 RI Pak Habibie di RSPAD Gatot Subroto.Mari doakan beliau sgera sembuh&bs beraktivitas kembali pic.twitter.com/ee4VbY7jMD

— Aburizal Bakrie (@aburizalbakrie) October 25, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Beliau mengeluh dadanya sakit, tetapi kata doktor jantungnya tidak apa-apa. Ya, InsyaAllah... mungkin Isnin kita dapat tahu penyakitnya apa," kata Aburizal Bakrie seperti dipetik oleh Kompas.com.
Sementara itu, pelakon dan penyanyi Bunga Cinta Lestari juga dilaporkan menjenguk Habibie pada Sabtu. Isteri kepada Ashraf Sinclair itu sebelum ini melakonkan watak sebagai isteri Habibie, Hasri Ainun dalam filem Habibie & Ainun.
#BJ Habibie #Indonesia #Joko Widodo #Jokowi #presiden