Skip to main content

Dunia

Blanche mohon maaf berhubung kesilapan pengendalian fail Epstein

Acting Attorney General Todd Blanche appears before the Senate Judiciary Committee on Capitol Hill in Washington, Wednesday, July 15, 2026. (AP Photo/Mark Schiefelbein)
Blanche ketika hadir pada sesi pendengaran Jawatankuasa Kehakiman Senat di Capitol Hill, Washington. - Foto AP
Advertisement

WASHINGTON: Pemangku Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Todd Blanche, memohon maaf atas kesilapan dalam pengendalian dan penerbitan fail siasatan berkaitan pesalah seks Jeffrey Epstein ketika sesi pendengaran pengesahan jawatannya di Capitol Hill, menurut laporan BBC.

Blanche, yang sedang berusaha mendapatkan pengesahan Senat untuk mengetuai Jabatan Kehakiman AS secara tetap, berdepan pertanyaan daripada senator Republikan dan Demokrat mengenai beberapa isu, termasuk hubungan beliau dengan Presiden Donald Trump dan kontroversi membabitkan fail Epstein.

Menurut BBC, sesi pendengaran itu turut disertai sekumpulan wanita yang hadir sebagai tanda protes terhadap cara Jabatan Kehakiman mengendalikan penerbitan dokumen berkaitan siasatan Epstein.

Menjawab persoalan mengenai kritikan terhadap proses penyuntingan dan pelepasan jutaan dokumen siasatan tersebut, Blanche mengakui terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya.

"Terdapat kesilapan yang berlaku dan kira-kira satu peratus daripada suntingan yang dibuat perlu diperbetulkan," katanya.

Apabila ditanya oleh Senator Richard Blumenthal sama ada beliau ingin memohon maaf kepada mangsa Epstein atas kesilapan itu, Blanche menjawab: "Saya benar-benar meminta maaf. Sebarang kesilapan yang kami lakukan sepatutnya tidak berlaku."

Lapor BBC, isu fail Epstein menjadi antara cabaran terbesar yang dihadapi Jabatan Kehakiman sejak Trump kembali memegang jawatan, susulan kritikan terhadap kelewatan dan tahap penyuntingan yang tinggi dalam dokumen yang didedahkan kepada umum.

Dalam sesi sama, Blanche turut menafikan beliau mempunyai hubungan peribadi rapat dengan Trump meskipun pernah bertindak sebagai peguam pembela presiden itu dalam beberapa kes jenayah berprofil tinggi.

"Saya peguamnya, atau pernah menjadi peguamnya. Kini saya ialah Timbalan Peguam Negara," katanya.

Beliau juga berkata Trump tidak layak bertanding untuk penggal ketiga sebagai presiden pada pilihan raya 2028 kerana Perlembagaan AS mengehadkan tempoh perkhidmatan presiden kepada dua penggal.

Menurut BBC, pencalonan Blanche kini menunggu pertimbangan Jawatankuasa Kehakiman Senat sebelum dibawa ke Senat penuh untuk undian pengesahan.

 

Must Watch Video

Advertisement