Blinken adakan perbincangan dengan Menteri Luar Saudi mengenai Sudan

Bernama
Mei 6, 2023 04:04 MYT
Blinken berterima kasih kepada Arab Saudi kerana membantu rakyat Amerika dan keluarga mereka meninggalkan Sudan dan selamat tiba di Jeddah. - Fail/REUTERS
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken pada Jumaat mengadakan perbincangan mengenai situasi terkini di Sudan dengan Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan menerusi panggilan telefon.
Blinken berterima kasih kepada Arab Saudi kerana membantu rakyat Amerika dan keluarga mereka meninggalkan Sudan dan selamat tiba di Jeddah, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller.
"Setiausaha dan menteri luar mengesahkan kerjasama intensif mereka dalam hubungan diplomatik untuk menamatkan pertempuran di Sudan.
"Setiausaha itu juga menekankan komitmennya untuk memajukan proses politik yang memberi kuasa kepada rakyat Yaman untuk membentuk masa depan yang lebih cerah untuk negara mereka," menurut kenyataan itu.
Semakin banyak negara memindahkan diplomat dan rakyat mereka dari Sudan ekoran pertempuran antara tentera dan kumpulan Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum dan kawasan sekitarnya yang kini memasuki minggu ketiga.
Pertelingkahan berdarah yang meletus pada 15 April, menyebabkan lebih 550 orang terbunuh setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan Sudan.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera menggulingkan kerajaan sementara yang dipimpin Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.
-- BERNAMA
#konflik Sudan #Antony Blinken #Faisal bin Farhan #Arab Saudi