AMMAN: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menolak tuntutan Jordan dan Mesir yang menggesa gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza.

Penolakan itu dibuat pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Arab yang diadakan di Amman, Jordan pada Ahad.

Menurut Blinken, gencatan senjata akan menjadi tidak produktif dan boleh menggalakkan lebih banyak serangan daripada Hamas.

Malah, Blinken menegaskan pihaknya hanya boleh menyokong pemberhentian sementara konflik atas 'dasar kemanusiaan’ bagi membenarkan penghantaran bantuan dan pemindahan penduduk dari wilayah dikepung.

"Amerika Syarikat dan rakan-rakan kita akan mempunyai pandangan yang berbeza tentang cara terbaik untuk memajukan atau mencapai langkah-langkah ini. Tetapi kita semua mengakui bahawa kita tidak boleh kembali ke status quo.

"Kita semua memahami bahawa kita tidak hanya mempunyai kepentingan, tetapi juga tanggungjawab untuk melakukan segala yang kita boleh untuk menentukan jalan yang lebih baik bersama. Pada pandangan kami, gencatan senjata hanya akan menyebabkan Hamas berada di tempatnya selain dapat berkumpul semula dan mengulangi serangan mengejut dilakukan pada 7 Oktober lalu,” katanya.

Terdahulu, Menteri-Menteri Luar dari Jordan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan seorang pegawai kanan Palestin bertemu dengan Blinken selepas mengadakan mesyuarat berasingan sebelum ini dan satu lagi pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II.

Berdasarkan Kementerian Luar Jordan dalam satu kenyataan, mesyuarat itu mengulangi semula gesaan negara-negara Arab untuk melaksanakan gencatan senjata segera dan penghantaran bantuan tanpa sebarang gangguan di Gaza sebagai sebahagian usaha bagi menghentikan konflik.