Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
DUNIA

Blok Afrika Barat isytihar darurat di rantau itu ekoran ketidakstabilan meningkat

Bernama 10/12/2025 | 01:45 MYT
Omar Touray (kiri) ketika hadir pada satu mesyuarat ECOWAS di Abuja, Nigeria, 22 Jun 2025. - Gambar fail AP
ABUJA: Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) pada Selasa mengisytiharkan keadaan darurat di rantau itu, memetik pelbagai insiden sebagai bukti persekitaran keselamatan yang semakin meruncing, lapor Xinhua.

Presiden Suruhanjaya ECOWAS, Omar Touray membuat pengumuman itu semasa Sesi ke-55 Majlis Mediasi dan Keselamatan di peringkat menteri yang diadakan di sini.

Beliau berkata perkembangan terkini menggariskan "kemestian untuk muhasabah serius mengenai masa depan demokrasi kita dan keperluan mendesak untuk melabur dalam keselamatan komuniti kita."

Menilai iklim politik Afrika Barat, Touray menyatakan bahawa negara anggota ECOWAS kini menghadapi purata penarafan "risiko tinggi," berdasarkan analisis setiap negara, sekali gus menuntut tindakan segera dan bersepadu.

"Faktor-faktor risiko adalah berlakunya campur tangan ketenteraan yang berterusan (Guinea-Bissau dan Republik Benin hanya beberapa hari lalu); ketidakpatuhan kepada norma peralihan di Guinea, iaitu kita menghadapi seorang pemimpin tentera beralih kepada pemimpin awam; hak penglibatan dalam pilihan raya yang semakin terhakis di pelbagai negara; pengaruh pengganas, kumpulan bersenjata, dan rangkaian jenayah yang semakin berkembang; dan tekanan geopolitik yang semakin meningkat yang menjejaskan diplomasi dan perpaduan negara anggota," jelasnya.

"Pilihan raya telah menjadi pencetus utama ketidakstabilan dalam komuniti kita," katanya, sambil menyatakan trend yang membimbangkan di rantau ECOWAS.

Mendesak perlunya tindak balas serantau yang terkoordinasi terhadap keganasan dan jenayah rentas sempadan, Touray mengesahkan perbincangan berterusan dengan Perikatan Negara-Negara Sahel untuk menangani cabaran tersebut.


-- BERNAMA

#isytihar darurat #pengganas #Afrika Barat #ECOWAS