INTERNATIONAL

"Bodoh saya kalau tolak" - Trump pertahan terima hadiah jet dari keluarga diraja Qatar

Agensi 13/05/2025 | 01:00 MYT
Kata Presiden Trump, beliau bukan jenis orang yang akan menolak tawaran dengan begitu sahaja. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertahankan keputusan menerima sebuah pesawat daripada Qatar untuk digunakan sebagai Air Force One, dengan menyatakan bahawa adalah “bodoh” untuk menolak tawaran itu.
Tawaran dari keluarga diraja Qatar untuk mendermakan pesawat Boeing 747-8 bernilai AS$400 juta telah mencetuskan kebimbangan berhubung etika dan keselamatan negara. Namun, Trump, 78, menepis kebimbangan tersebut.
“Ia satu isyarat yang baik,” kata Trump kepada wartawan di White House apabila ditanya sama ada negara kaya minyak itu mengharapkan balasan.
“Saya bukan jenis orang yang akan menolak tawaran begitu. Saya boleh jadi orang bodoh dan kata ‘tidak, kami tak mahu pesawat mahal yang diberikan secara percuma.’”
Tawaran tersebut hadir selepas Trump berulang kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan dan kos melampau dalam kontrak Boeing untuk menyediakan dua pesawat baharu Air Force One.
Trump turut naik angin apabila ditanya sama ada beliau akan menggunakan pesawat tersebut untuk kegunaan peribadi selepas menamatkan penggal sebagai presiden.
“Soalan itu memalukan,” jawab beliau kepada seorang wartawan.
“Mereka beri kami jet percuma. Saya boleh kata ‘tidak, tak perlu, saya nak bayar AS$1 bilion atau AS$400 juta’. Atau saya boleh kata, ‘terima kasih banyak.’”
Trump menjelaskan, pesawat itu kelak akan dipamerkan di perpustakaan Presidennya, seperti mana perpustakaan Ronald Reagan yang mempamerkan Air Force One lama.
Isu etika dan keselamatan
Bagaimanapun, isu tersebut mencetuskan kontroversi apabila beberapa ahli Kongres Demokrat menyifatkan rancangan itu sebagai tidak beretika dan berbahaya dari sudut keselamatan.
“Mana-mana Presiden yang menerima hadiah bernilai AS$400 juta daripada kerajaan asing mencetuskan konflik kepentingan yang jelas,” kata empat senator daripada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.
Senator Chris Murphy turut mengkritik tajam rancangan itu, menyifatkannya sebagai “rasuah bertaraf nuklear” dan berikrar akan menyekat sebarang penjualan senjata ke negara yang “mempunyai urusan langsung secara peribadi dengan Trump.”
Perlembagaan AS melarang pegawai kerajaan daripada menerima hadiah daripada mana-mana raja, putera atau negara asing dan penggunaan jet yang disumbang oleh negara luar sebagai pusat kawalan Presiden turut mencetuskan kebimbangan keselamatan nasional.
Penjelasan Qatar dan White House
Jurucakap media Qatar di Washington, Ali Al-Ansari dalam kenyataannya menjelaskan, jet itu bukanlah
hadiah rasmi, sebaliknya masih dalam perbincangan antara Kementerian Pertahanan Qatar dan Jabatan Pertahanan AS untuk penggunaan sementara.
White House pula menegaskan bahawa pesawat itu akan diserahkan kepada Jabatan Pertahanan, bukan kepada Trump secara peribadi.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, sumbangan itu akan “mengikut undang-undang sepenuhnya dan dilaksanakan dengan ketelusan maksimum.”
Trump sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pesawat Air Force One sedia ada yang digunakan sejak era Presiden George H. W. Bush pada tahun 1990, dan menyatakan pihaknya sedang “mengkaji alternatif” kepada Boeing berikutan kelewatan penghantaran dua pesawat baharu 747-8. - Agensi
#Donald Trump #hadiah jet #keluarga diraja Qatar #Air Force One