BOEING mengucapkan selamat tinggal kepada model jet jumbo 747 selepas menghantar model terakhirnya kepada Atlas Air di Washington pada Selasa.

Ribuan pekerja Boeing - termasuk mereka yang digelar 'luar biasa' kerana membangunkan pesawat itu pada 1960-an menyaksikan detik bersejarah pesawat ke-1,574 dan terakhir yang pernah dibina.

Hadir memeriahkan majlis itu adalah selebriti, John Travolta, yang pernah mempelajari membawa pesawat 747-400 selaku duta Qantas Airlines.

"Ini merupakan saat yang paling sukar untuk dilalui oleh mana-mana juruterbang komersial. Pesawat ini boleh saya anggap sebagai pesawat paling selamat yang pernah dibangunkan," katanya memetik laporan Reuters.

Usahawan terkemuka Britain, Richard Branson turut mengabadi kenangan berkenaan pesawat itu. - Foto REUTERS

Dianggap sebagai 'Queen of the Skies', model 747 merupakan pesawat pertama di dunia yang mempunyai dua laluan atau lorong dalam pesawat.

Ia direka dan dibina selama 28 bulan dengan Pan Am menjadi syarikat pengendali pertama pada 1970.

"Pesawat ini yang mentafsirkan semula definisi industri pengangkutan udara," kata Guy Norris, penulis bersama buku 'Boeing 747: Design and Development Since 1969'.

Dalam pada itu, usahawan terkemuka Britain, Richard Branson turut mengabadi kenangan berkenaan pesawat itu.

Ia selepas dia memulakan syarikat penerbangan dengan sebuah Boeing 747 selepas serik mengalami penundaan penerbangan.

"Ini memberi pengiktirafan kepada Amerika dan Boeing sebagai peneraju industri penerbangan," kata Branson, anak kepada pramugara yang mengasaskan Virgin Atlantic pada 1984.