Bolivia pilih Presiden baharu, tamatkan era pemerintahan berhaluan kiri

Bolivia kini berdepan krisis ekonomi dengan kadar inflasi tinggi, kekurangan petrol dan mata wang asing, serta kekurangan ubat-ubatan.
RIO DE JANEIRO: Selepas hampir dua dekad berada di bawah pemerintahan kerajaan berhaluan kiri, Bolivia kini berada di ambang perubahan politik apabila pilihan raya pusingan penentuan pada Ahad bakal menentukan kepimpinan masa depan negara Amerika Selatan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Memandangkan tiada calon memperoleh majoriti yang diperlukan dalam pusingan pertama undian, Senator Rodrigo Paz Pereira daripada Parti Demokratik Kristian dan bekas Presiden Jorge Quiroga daripada pakatan berhaluan kanan Libre - Liberty and Democracy kini berentap untuk merebut jawatan Presiden.
Bolivia kini berdepan krisis ekonomi dengan kadar inflasi tinggi, kekurangan petrol dan mata wang asing, serta kekurangan ubat-ubatan yang menjejaskan kehidupan harian rakyat.
Kerajaan terdahulu yang diterajui parti berhaluan kiri Movement for Socialism (MAS) telah lama bergantung kepada dasar subsidi yang menekan belanjawan negara.Kawasan luar bandar dan komuniti orang Asli paling terkesan, menyumbang kepada ketegangan sosial dan kerapnya berlaku protes.
Kedua-dua calon pembangkang menumpukan kempen kepada dasar liberalisasi ekonomi dan pembaharuan sederhana, dengan Paz Pereira berhasrat menarik pelaburan dan memodenkan institusi kerajaan, manakala Quiroga bercadang melaksanakan liberalisasi, penswastaan terpilih serta pengurangan beransur-ansur subsidi bahan api.
Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan untuk mengira dan mengumumkan 90 peratus keputusan undi pada malam pilihan raya.
Pemenang akan memegang jawatan Presiden bermula November bagi tempoh lima tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami