Bolsonaro - Jangan menyibuk; Amazon milik Brazil

Razak Chik
September 25, 2019 13:23 MYT
Bolsonaro bertegas dengan pendirian bahawa tiada mana mana pihak berhak menentukan status hutan Amazon sebagai satu warisan kemanusiaan. - Foto AP
PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro bertegas mempertahankan hak negaranya mengekploitasi hasil mahsul hutan Amazon untuk tujuan pembangunan.
Berucap di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, Bolsonaro bertegas dengan pendirian bahawa tiada mana mana pihak berhak menentukan status hutan Amazon sebagai satu warisan kemanusiaan.
Tambahnya lagi, tanggapan hutan Amazon sebagai 'paru-paru dunia' tidak tepat sama sekali.
Menurutnya, tiada negara berhak campur tangan dengan pengurusan hutan Amazon kerana setiap inci tanah dalam sempadan negara adalah kepunyaan Brazil sebagai sebuah negara berdaulat.
Bolosonaro menempelak Perancis dan Jerman yang merupakan antara negara maju yang kuat mengkritik Brazil kerana menggalakkan penerokaan dan pembakaran hutan Amazon.
Sebagai langkah balas, Bolsonaro menyatakan kesediaan Brazil menjalin hubungan yang lebih rapat dengan negara negara Asia dan Arab.
#hutan Amazon #Jair Bolsonaro #Jerman #paru-paru dunia #PBB #Perancis