Skip to main content
Advertisement

Dunia

Bolsonaro pertikai lanjutan tempoh mengundi, tuntut keputusan undian dibatalkan

Bolsonaro (kanan) memberitahu pemberita bahawa beliau tidak dapat menerima keputusan itu selepas mahkamah pilihan raya mengisytiharkan Lula (kiri) sebagai pemenang. -Gambar fail
Bolsonaro (kanan) memberitahu pemberita bahawa beliau tidak dapat menerima keputusan itu selepas mahkamah pilihan raya mengisytiharkan Lula (kiri) sebagai pemenang. -Gambar fail

Advertisement

RIO DE JANEIRO: Calon presiden berhaluan kanan Flavio Bolsonaro menolak kekalahannya kepada penyandang Luiz Inacio Lula da Silva dalam pusingan penentuan pilihan raya presiden Brazil dan menuntut keputusan pengundian itu dibatalkan susulan lanjutan tempoh mengundi selama dua jam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bolsonaro memberitahu pemberita bahawa beliau tidak dapat menerima keputusan itu selepas mahkamah pilihan raya mengisytiharkan Lula sebagai pemenang.

Beliau mengkritik keputusan hakim Mahkamah Agung Cristiano Zanin yang melanjutkan tempoh pengundian selama dua jam di seluruh negara, dengan mendakwa tindakan itu mengubah peraturan pilihan raya.

Kempen Lula sebelum ini memohon lanjutan tempoh berkenaan berikutan kesukaran membawa pengundi ke pusat mengundi di beberapa negeri.

Kempen Bolsonaro turut memohon lanjutan tempoh mengundi, namun hanya di kawasan perbandaran di lima negeri susulan hujan lebat, banjir dan gangguan bekalan elektrik.

"Apa yang berlaku hari ini bukan sesuatu yang normal. Ia tidak boleh diterima," kata Bolsonaro sambil mendakwa lanjutan tempoh pengundian di seluruh negara itu telah menjejaskan prinsip layanan sama rata antara negeri.

Beliau menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan pilihan raya berkenaan.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement