DUNIA
Bomoh yang dikaitkan dengan bekas wanita pertama Korea Selatan didakwa rasuah

Jeon Seong-bae (kanan) didakwa atas pertuduhan melanggar Akta Dana Politik dan undang-undang penerimaan rasuah untuk tujuan perantaraan. Gambar kiri: Kim Keon Hee. - Tangkap layar The Korea Herald
SEOUL: Seorang bomoh yang mempunyai kaitan rapat dengan bekas wanita pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee, didakwa pada Isnin atas tuduhan menerima rasuah sebagai balasan memberikan pelbagai bantuan kepada Gereja Unification, perniagaan dan ahli politik, lapor Agensi Berita Yonhap.
Jeon Seong-bae, lebih dikenali sebagai Geonjin, didakwa dengan penahanan fizikal atas pertuduhan melanggar Akta Dana Politik dan undang-undang penerimaan rasuah untuk tujuan perantaraan, kata pasukan pendakwa khas Min Joong-ki.
Jeon, yang ditahan sejak 21 Ogos, berdepan tuduhan berkomplot dengan bekas wanita pertama itu untuk menerima seutas rantai berlian, dua beg Chanel dan hadiah lain bernilai keseluruhan 80 juta won (US$57,000) daripada seorang pegawai Gereja Unification pada 2022.
Hadiah itu kemudian diserahkan kepada Kim bersama permintaan agar pentadbiran suaminya ketika itu, Yoon Suk Yeol, memberikan sokongan terhadap pelbagai projek yang dijalankan oleh Gereja tersebut, menurut pertuduhan pendakwa khas.Bomoh itu juga dituduh meminta jawatan penasihat di Gereja berkenaan dan menerima sejumlah 30 juta won sebagai balasan atas perantaraannya.
Dalam kes lain, Jeon didakwa menerima hadiah dan faedah bernilai 45 juta won daripada sebuah syarikat dari 2022 hingga awal tahun ini sebagai balasan untuk memohon bantuan dalam siasatan cukai serta kes jenayah melibatkan syarikat tersebut.
Beliau juga didakwa menerima 160 juta won daripada sebuah lagi syarikat dari 2022 hingga 2023 sebagai balasan atas usaha mendapatkan sokongan perniagaan bagi pihak syarikat itu.
Sementara itu, menjelang pilihan raya tempatan Jun 2022, Jeon didakwa menerima 100 juta won daripada seorang calon yang kini merupakan anggota dewan perundangan Wilayah Gyeongsang Utara sebagai balasan membantu mendapatkan pencalonan daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang ketika itu parti pemerintah.
Pasukan pendakwa khas berkata mereka akan terus menyiasat dakwaan lain yang melibatkan bomoh itu, termasuk penglibatannya dalam kempen merekrut ahli Gereja Unification sebagai ahli PPP untuk menyokong usaha Rep. Kweon Seong-dong menjadi ketua parti pada konvensyen kebangsaan Mac 2023.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami